2009-10-21

Emo~ Part II

Semalam aku ke One Utama, dengan hajat nak pegi serang kedai Focus Point yang telah menaburkan janji-janji palsu kat aku sejak 3 minggu yang lalu. Jadi semalam dengan ditemani oleh Deennasour, kami pon bergegas ler ke sana. [Deennasour tengah high sebab dapat motor baru!!!]. Sampai di OU, aku tak buang masa, sebab time tu pon dah dekat pukul 8.30 malam, takut kedai tu tutup pulak. So dengan pengetahuan terhadap penggunaan teknologi mesin pencari data yang banyak terdapat berhampiran tangga, kami pon search lokasi kedai Focus Point.

Oh ya, lupa pulak nak bagitau, ceritanya begini. Tiga minggu lepas, aku telah menempah sepasang cermin mata [eh betol kan penjodoh bilangan tu???] kat karnival Focus Point yang diadakan di ruang legar OU. Masa tu bakan main manis lagi mulut-mulut promoter tu mengayat aku ngan kawan aku. Ye la, nak kan customer la katakan. Aku ditaburi dengan janji-janji manis, senyuman manis awek penjual cermin mata tu, dan macam-macam lagi. Sehingga ada satu dialog yang tak boleh blah keluar dari mulut promoter tu yang berbunyik begini:-

Ini spec aaaa, kalau u pakai, serupa macama orang BUDIMAN tau...(sambil tersenyum kat aku)
Huh BUDIMAN??? ada ker orang pakai perkataan tu lagi? Hahahaha aku gelak tak ingat dengan member aku kat situ masa tuh. Si promoter tu pon tercengang-cengang. Lantak kau la promoter, janji ko tak guna ayat bangang.

Disebabkan aku ni taknak kelihatan seperti seorang yang BUDIMAN, jadi aku tak jadi la ambik spec tu, aku pilih yang lain, yang bila aku pakai, iras-iras Lee Dong Wok (pelakon Korea) yang belakon citer "My Girl" tuh!!! Wakakaka.

Bila dah settle urusan pembayaran, promoter tu pun cakap kat aku, spec akan siap dalam masa 10 hari. Aku pon ada jugak buat special request supaya dia hantar spec baru aku nanti kat cawangan Focus Point Putrajaya. Senang la aku nak amek. Dia pon setuju dan siap bagi nombor talipon cawangan Putrajaya.

Tibalah hari ke sepuluh, satu phone call pon aku tak terima daripada Focus Point. Tak kira la cawangan Putrajaya ke atau OU. Hampeh, aku pon call la cawangan Putrajaya. Bila dah bagi no ID pada resit, orang kat situ cakap belum terima, dan akan memaklumkan pada aku bila dah terima nanti. Ok takpe, aku sabar lagi sebab spec mata lama aku pon masih boleh guna, cuma senget-senget sket la (macam tuan dia).

Tunggu punya tunggu masih takda khabar berita. Aku dah syak sesuatu dah. Ni kompom Focus Point kat OU tu tak hantar ke Putrajaya. So dengan berbekalkan semangat untuk menyerang, maka semalam aku pon pergilah ke Focus Point OU.

Huh apa yang aku agak memang betol. Spec mata aku tu dah lama siap!!! Bila aku tanya kenapa tak call aku? Orang kedai tu cakap, macam ni;-

"Sorry la incik, orang-orang karnival hantar sini kata sama kami semua itu sudah call punya. So kami pon tarak call la.Tapi itu sama resit ada tulis Putrajaya, kenapa yer mereka tarak hantar sana???
BOLEH??? tanya pulak kat aku kenapa orang-orang dia tak hantar spec aku kat Putrajaya??? Nak aku tolong jawabkan ker? (Aku diam je sambil buat muka bodoh)

"Sorry aaa incik, itu orang-orang Karnival memang selalu buat hal la."
Sambil kawan dia menghulurkan aku satu beg kertas yang besar. Tapi Hampeh ..kosong. Ingatkan ada la isi sunglass Ray-Ban ker, CK ker. Ceh!!! Aku pon dah malas nak meracau-racau kat situ. Aku terima sajalah ketentuan-Nya.

Apa la diorang ni, tak professional langsung! Kasi buruk nama kompeni aje. Apa-apa pon spec mata aku dah siap!! hehehhe, dan untuk menguji keefisyenan nyer, lepas kuar dari kedai tu kami terus pegi tengok wayang cite "Cloudy with a Chance of Meatballs!! kekeke memang jelas mata aku! Lega~


End of emo part II~

PEACE!


2009-10-16

Blander Oh Blander

Pagi tadi masa on the way nak pergi kerja, aku terperasan la yang jalan raya begitu lengang dan tenang. Oh apakah ramai manusia yang bercuti sempena DEEPAVALI esok? Adakah ramai kaum India yang tinggal kat kawasan rumah aku nih? Rupa-rupanya hari ini merupakan cuti sekolah. Hahah patutlah jalan lengang!

Yup, kalau time cuti sekolah, aku memang suka giler. Sebab jalan raya akan jadi lengang. Pergi opis, 15 minit dah sampai. Kalau hari-hari biasa, mau makan 25-30 minit jugak untuk sampai ke ofis. Rugi-rugi!! Sepatutnya aku keluar rumah lewat tadi, lepak-lepak minum kopi sambil makan muffin ker, atau pekena fresh oren dengan blueberry cake ker... Huhuh apakan daya semuanya telah terlambat.

Sempena Deepavali yang jatuh pada hari Sabtu 17 Oktober 2009 ni, aku pon teringin la nak wish kat beberapa orang member yang beragama Hindu, "SELAMAT HARI DEEPAVALI"!!! Oh ya tak lupa jugak kepada makcik-makcik cleaner kat opis aku (kalau diorang ada baca blog aku nih???) yang rata-ratanya India, semoga bergembira menyambut DEEPAVALI tahun ni! (Yey semangat Satu Malaysia!!!).

Nak dijadikan cerita jugak, hari ni Opis aku akan mengadakan jamuan hari raya! Akhirnya, dapat jugak aku merasa pergi jamuan raya (kehkehekeh setelah banyak open house aku tak pergi). Tapi, jamuan raya ni kena bawak makanan sendiri (potlak). Huh diorang awal-awal dah suh aku masak!. Ceh padahal masakan aku tak ler sesedap mana, standing Chef Wan jer. Tapi memandangkan semuanya menaruh harapan yang tinggi, maka aku pon mempersembahkanlah masakan aku yang special itu, Ayam Masak lemak Cili Padi! Senang je buatnya. Aku pon dah kompomkan dengan ibu aku kat kampung, memang sama la cara masakan aku dengan dia!

Memang semua staff kat opis aku wajib bawak sekurang-kurangnya satu masakan. Erk?? sebenarnya kalau beli pizza lagi senang kan?? Tapi pizza mahal wooooo! kalau nak bagi makan satu opis mampuih den! So tu yang aku rasa-rasa macam nak masak je, lagi murah dan jimat walaupun...tak sedap wakakaka.

Nak dijadikan cerita lagi, masa aku tengah prepare barang-barang nak menumis, aku pon guna la blander canggih kat umah aku tu, adoiai baru setengah jalan tetiba tupssssssssss senyap! Hah??? Dah la aku takde lesung batu nak menumbuk, blander ni pulak buat hal. Apa lagi Emergency!!! Aku belasah je masak guna barang barang yang separuh blander tu. Naseb la korang yang nak makan yer. Ampun dan maaf dipinta..Selamat Hari Raya.

Jadi kat sini aku nak pesan awal-awal, kalau tetiber terasa tak sedap atau nampak tak cantik Ayam Masak Lemak Cili Padi aku tu, KORANG SALAHKAN BLANDER AKU YER! Hahahah bukan salah aku. Aku dah cuba buat yang terbaik.

AMIN~

P/s= motif entry ni nak kasitau blander aku rosak...tolong saper nak belikan blander baru kat aku????? hahaha.

2009-10-15

Janji

Dah masuk minggu ke tiga bulan Oktober. Syawal pun dah tinggal sipi-sipi je, untuk sesiapa yang nak buat open house tu masih sempat la, boleh buat skali dengan Deepavali punya 'open house!' Barulah 1 Malaysia kan??? (In terms of Majlis rumah terbuka ya, tak nak sentuh soal lain, kang tak pasal-pasal jadi isu plak).

Ok, cukuplah pasal open house. Terus terang aku cakap, semua jemputan open house tahun ni aku tak dapat datang sebab setiap kali member-member buat open house, ada saja hal yang aku tak boleh elakkan. Hmmm apa boleh buat, dah tak ada rezeki. InsyaAllah kalau korang buat lagi tahun depan, dan kalau dipanjangkan umur, aku akan hadir (juga tertakluk kepada keadaan ketika itu nanti).

Ada satu perkara yang memebelenggu aku semenjak dua menjak nih. Mungkin ada sesetengah daripada kita yang pernah mengalami apa yang aku alami. Apa perasaan anda bila perkara-perkara di bawah ini berlaku pada diri anda:-

Situasi 1.

Bila seseorang telah mengatur janji dengan kita, tapi janji tersebut di anggap remeh orang itu,sedangkan kita bersungguh-sungguh mahu memenuhi janji tersebut (meletakkannya sebagai priority dalam agenda harian kita).

Situasi 2.

Bila dah berjanji dengan seseorang, janji tersebut dianggap remeh dan bila kita nak call orang itu, tak dapat-dapat, talifon off, out of service, batery habis dan macam-macam hal lagi yang tak membolehkan kita mengetahui apa yang berlaku.
Sebenarnya kedua-dua situasi itu adalah saling berhubung. Aku tak tau lah apa yang anda semua rasa bila ia terjadi kepada anda. Tapi bagi aku, ia sangat merimaskan!!!

(Part meroyan + mengamuk+ emo!)...

Cuba bayangkan, bila aku berjanji dengan kau nak jumpa malam ni pukul 9.00 malam, di Mid Valey yang letaknya 20++ km dari rumah aku, jalanraya pulak jem, sedangkan kau pulak boleh sesenang hatinya datang ke MidValey hanya dengan berjalan kaki (sebab kau takder transport), tapi aku yang sampai dulu 10 minit sebelum jam 9.00 malam, dan bila aku call kau tak dapat-dapat, talifon off, dan haram kau nak talifon aku bagitau ada masalah kena settle dulu ker, nak aku pegi ambik kau kat rumah ker dll. lagi persoalan yang bermain di fikiran aku.....korang tak rasa bengang ker?????

Kalau yer pon tak dapat datang awal, sila bagitau aku yang ko lambat, atau biar aku call kau supaya aku tau yang kau lambat. Atau sekali pon talifon kau takder kredit atau rosak, please la cari jalan bagitau kat aku kenapa kau tak boleh tepati janji kau tuh. Boleh ker tak??? Tolonglah hormati orang yang sedang menunggu kau itu. Buatnya orang yang menunggu kau tu jenis hati baik, sangguplah menuggu kau sampai berjam-jam sedangkan banyak benda lain dia boleh buat, (sebab tak berbaloi dia dah datang jauh-jauh lepas tu nak balik pulak satu hal lagi), tak ker kau kesian dekat dia? Bagi aku, kalau aku menunggu orang, aku mesti tunggu sampai orang tu datang, paling lama aku boleh tunggu adalah dalam tempoh sejam. Lepas tu bye bye la (aku paling serba salah part nih, kesian kat orang tuh, tapi kenapa orang tu tak kesian kat aku yer?

...(habis dah meroyan@emo@mengamuk)

Tujuan aku menulis kat sini, sekadar nak meluahkan apa yang aku rasa dan untuk mengingatkan diri aku juga supaya tidak melakukan perkara yang sama kepada orang lain sebab ianya sangat menyiksakan. Bak kata pepatah melayu "Penantian itu satu PENYIKSAAN!" Sama-samalah kita memperbaiki diri kita dan cuba untuk melakukan yang terbaik. Hati kita memang nak dijaga, tapi hati orang pun kita kena jaga juga. Pernah tak kita fikir kenapa wujudnya istilah "JANJI MELAYU?"

Renung-renungkan...dan selamat beramal!


p/s= Situasi di atas adalah rekaan semata-mata, tiada kena mengena pada yang hidup atau pun yang telah meninggal dunia.

PEACE~


2009-10-13

Projek Teater: Muzikal Gamat ~Kiutnya Gamat tu!!!

Akhirnya setelah menunggu selama 3 bulan, semalam tiba jugak hari Finale pementasan Teater Gamat di Istana Budaya. Tiket dah beli sejak 3 bulan lepas [thanks to Kaki Jalan sebab tolong membelikan tiket guna kad kredit dia memandangkan kad kredit aku dah expired ketika itu harharhar]. So, semalam, dengan pantasnya selepas waktu pejabat, aku bergegas menjemput "deennasour" juga yang sama nak menonton Teater Gamat ni. Naseb baik jalanraya tak jem teruk, alhamdulillah sampai di Istana Budaya agak awal. Sempat lagi kami mencekik kat kedai seberang jalan depan IB tuh..Sedap gak makcik tu masak.

Teater Gamat yang digembar-gemburkan tersangat best tu sememangnya best! Ada kanak-kanak yang comel-comel, ada kostum-kostum yang menarik dan lagu-lagu yang mencuit hati dan sedap didengar [adik-adik yang nyanyi koir tu pun cun-cun belaka...untung aku duduk depan stage boleh ushar-ushar!!!;p]. Pendek kata, penuh warna-warni dan ceria. Sesuai la untuk kanak-kanak menonton. Memang malam tu pon ramai gak kanak-kanak yang datang menyaksikan persembahan terakhir Teater Gamat untuk musim ini.

Apa yang membuatkan aku nak tengok sangat Teater Gamat ni? Sudah pasti untuk berjumpa akak sedara kawan aku punya nenek punya jiran sebelah rumah dia si Ibu Gamat iaitu Amy Mastura! dan Datin Natasha Hudson yang tersangatlah kiut dan jelita. Aduh kenapalah korang kiut sangat.

Lagi satu sebab, aku pernah menonton siri persembahan Teater Kanak-Kanak di IB sebelum ini, antaranya Sinbad pada tahun lepas. Memang berbaloi sebab korang akan kagum dengan kebolehan kanak-kanak itu berlakon secara bersahaja di atas pentas yang sangat besar!!! (tetibe pulak aku feeling macam ada atas pentas tu hahahah).

Teater Gamat mengisahkan sekeluarga gamat yang terdiri daripada Ayah Gamat (Zuhairi Ibrahim), Ibu Gamat (Amy Mastura), Kakak Gamat(Anith OIAM), Abang Gamat (Zulaidil Zainal Abidin), Anak Gamat (Aidil Solehin) dan makcik Gamat (____aku tak tau nama dia) yang hidup di dasar laut dengan pelbagai hidupan yang berwarna-warni. Sehinggalah satu hari anak gamat yang bernama Mat dan kakaknya ditinggalkan kedua ibu bapa mereka sendirian di rumah. Dari sinilah bermulanya pengembaraan Mat dan kakaknya serta apabila mereka keluar bermain di taman karang. Ketika si kakak sebok bercinta dengan teman lelakinya Gam, Mat pula telah bermain dengan kumpulan ikan, ketam, udang, dan pelbagai spesis laut yang lain sehinggalah dia diculik oleh sekumpulan obor-obor. Obor-obor menculik Mat di atas arahan sotong kurita yang sedang menderita kesakitan akibat terkena sisa toksik yang dibuang oleh manusia ke dasar laut. Hanya Ibu Gamat sahaja yang mampu menyembuhkan penyakit sotong kurita.

Sotong Kurita berjanji untuk melepaskan Mat sekiranya Ibu Gamat berjaya menyembuhkan penyakitnya. Namun begitu, sotong kurita telah memungkiri janji dan berlakulah pertempuran di kalangan haiwan laut yang menyokong keluarga gamat dengan sotong kurita.Akhirnya sotong kurita ditangkap dan dihadapkan ke Mahkamah laut. Sotong Kurita dijatuhkan hukuman membersihkan dasar laut dari sampah sarap.

Amacam menarik tak? kehkehkeh kanak-kanak sungguh.

Selain watak keluarga Gamat, watak-watak lain yang menarik perhatian sudah semestinya watak Ikan Buntal (Datin Natasha Hudson) yang bertindak sebagai ketua polis dasar laut! Wah best la pulak si Datin ni jadi ikan buntal kekeke. Paling berkesan adalah adik Aidil melakonkan watak anak gamat. Sungguh sempoi dan bersahaja.

Amy Mastura pulak? Sudah diketahui ramai yang dia memang pandai berlakon. Sepanjang persembahan, ada sahaja lawak-lawak sepontan yang dibuat oleh Amy. Tahniah.

Rata-rata, ramai pengunjung berpuas hati dengan Teater Gamat. Turut kelihatan di barisan penonton adalah Ifa Raziah, Azlee Senario dan cikgu Aris AF7. Si Ifa dan Azlee ni siap bergelek bersama-sama pelakon Gamat sewaktu sesi kuiz dijalankan. hehehe lawak-lawak.!

Secara keseluruhan, Teater Gamat ni memang best. Sudah pasti ia akan kekal sebagai kenangan yang indah untuk setiap pelakonnya. Lepas nih citer apa pulak???

PEACE!

Barisan Pelakon Teater Gamat







Time ni Ifa Raziah dengan Azlee Senario tengah bergelek sakan.


2009-10-12

Sesuatu Yang Baru~(ahh....aku 'high' dengan benda tuh!)

Hujung minggu lalu, sekali lagi aku ditinggalkan seorang diri di rumah. Maklumlah, 2 orang housemate tu semuanya ada hal masing-masing, lagipon kampung halaman diorang pon dekat jer. Jeles!!!!

Pagi-pagi Sabtu, aku bangun awal. Cuaca pulak baik hari tu. Tetiber pulak datang rajin aku nak mengemas bilik. Sebenarnya aku ni fobia nak kemas bilik sejak insiden terbuang 'memory card 4 GB' handphone aku dulu!!! Tapi kali ni dengan penuh berhati-hati aku mengubahsuai semuala bilik aku. Alhamdulillah, nampak kemas dan lapang la pulak? hehehe sampai sakit-sakit jugak pinggang aku mengangkat almari dan katil. Berbaloi.

Lepas habis mengemas, aku bersiap-siap. Hari Sabtu tu, sememangnya aku dah plan nak pergi ke Plaza Low Yat[hmm entah betol ke ejaan macam ni???]. Aku nak pergi survey barang. Dah lama aku idamkan nak beli benda alah tu. Sampai tempat tu, bermulalah kisah pencarian sebuah kemera digital yang baru. Lama jugak aku duduk kat Plaza Low Yat tu, dari jam 12 sampai ke pukul 5 petang. Huhuhuh, berkampung jugak la kat situ. Akhirnya setelah berpuas hati dengan kelentong penerangan tukang-tukang kedai kat situ, akhirnya aku pon ter'angkat' lah juga sebuah kemera DSLR berjenama Canon. Harga pon agak berpatutan jugak la. Memandangkan aku dah memang niat nak beli kemara baru, so aku ignore aje harga tu kehkehkeh. Huhuhuhu gementar giler bila kemera tu berada di dalam dakapan aku. Setelah sekian lama aku mendambakannya. Akhirnya tanggal 10 Oktober 2009 aku memilikinya.

Ramai jugak yang tanya kenapa Canon??? Ntah, sebab aku rasa aku suka Canon kot?? lagipon aku bukannya expert sangat pakai DSLR ni, masih dalam pembelajaran. Dan ada jugak ramai member yang cakap, DSLR Canon sesuai untuk ambik gambar2 nature. Jadi memandangkan aku ni jenis banyak menghabiskan masa kat luar jadi itu merupakan salah satu sebab kenapa aku amek Canon. Sebenarnya aku buat banyak perbandingan dengan jenama-jenama lain terutamanya Nikon. Sebetolnya Nikon D90 adalah dambaan aku, tapi itu mungkin lain kali la pulak aku beli hahahhaa.

Skarang ni we are still in the process of learning and knowing each other. heheh. Harap-harap bila dah pro nanti, leh la aku eksen dengan kegkawan yang telah mengeksenkan diri mereka kepada aku sebelum ini!! Kehkehkeh.

PEACE!

[erk ini netry paling tehapa-hapa agaknya kan????] aku takde idea!!!

2009-10-09

PapaDom: Dimensi Baru Filem Melayu

Aku tertarik untuk mengulas pandangan aku terhadap sebuah filem Melayu yang aku tonton bersama rakan-rakan semalam, PapaDom. Uniknya PapaDom adalah pada tajuknya. Siapa sangka sejenis makanan yang popular dimakan bersama Nasi Kandar mampu menceritakan perjalanan hidup seorang pengusaha Nasi Kandar yang taksub dengan kasih sayang terhadap anak gadisnya yang satu. Itu jugalah yang menarik perhatian aku untuk terus melekat di kerusi panggung sehingga ke akhir cerita.

PapaDom mengisahkan seorang lelaki bernama Saadom (Afdlin Shauki) yang tekad memperbaiki taraf kehidupan keluarganya sehingga terkorban masa bersama keluarga. Seringkali dia terlepas saat-saat penting dalam sejarah hidup anak tunggalnya Miasara (Liyana Jasmay). Sehinggalah pada suatu hari, isterinya Munirah (NurKhiriah) terkorban dalam satu kemalangan jalan raya ketika menghantar anaknya ke sekolah. Kematian Munirah merupakan satu tanparan hebat kepada Saadom, sekaligus merubah kehidupannya daripada mementingkan kerjaya kepada seorang yang sangat protective terhadap anak tunggalnya itu. Setiap gerak geri Mia dibayangi Saadom, sehingga tiada ruang kosong di antara mereka. Situasi ini berterusan sehinggalah Mia memasuki Universiti di Kuala Lumpur. Setelah berjanji yang dia tidak akan mengganggu anaknya di Universiti, Saadom nekad dengan perancangan-peancangan rapi, menyamar sebagai seorang tukang kebun Universiti, semata-mata mahu memastikan anaknya sentiasa mendapatkan yang terbaik dalam perjalanan hidupnya.

Di situ jugalah munculnya watak-watak Mat (Que Haidar), Shasha (Scha), Hisham (Farid Kamil) dan Prof. Balqish (Vanidah Imran). Watak-watak ini yang mewarnai cabaran-cabaran yang terpaksa dihadapi oleh Saadom dalam melindungi anak kesayangannya itu sehinggalah rahsia penyamarannya terbongkar akibat satu insiden yang sangat menyentuh hati dan perasan.

Apa yang aku lihat?

  1. Nilai kasih sayang yang padu daripada seorang ayah. Aku sedikit tersentuh dibabak-babak akhir cerita kerana para pelakon berjaya membawa watak dengan baik sekali. Tetiba aku terkenang ibu dan ayah di kampung.

  2. Jalan cerita yang lancar dan santai. Tiada aksi-aksi terlampau oleh setiap pelakon. Masing-masing mempunyai idea tersendiri dalam mengolah skrip dan diterjemahkan ke dalam cerita ini.

  3. Lokasi penggambaran yang Menarik (Pulau Pinang) dan konsep budaya yang dimuatkan di dalam filem ini memang sesuai sebagai pelengkap cerita. Lagu-lagu latar yang sempoi dan bersahaja juga menarik perhatian aku untuk mendengar dengan lebih khusyuk.
Bagi aku, Filem PapaDom adalah satu karya terbaik yang aku tonton pada tahun ini (bagi kategori filem Malaysia). Syabas buat semua yang terlibat. terutamanya kepada pengarah filem ini Afdlin Shauki. Tak sia-sia PapaDom menang 5 anugerah dlam Festival Filem Malaysia ke 22 tempoh hari.

Wajib Tonton!

Anugerah yang dimenangi oleh PapaDom pada Festival Filem Malaysia ke 22:

  • Filem Terbaik
  • Pelakon Lelaki Terbaik (Afdlin Shauki)
  • Pelakon Wanita Terbaik (Liyana Jasmay)
  • Cerita Asal Terbaik (Afdlin Shauki)
  • Skor Muzik Asal Terbaik (Pacai)
PEACE!!!


2009-10-08

@Dilema

Dalam hidup ini, kita selalu kena buat pilihan yang tepat terutamanya dalam mencapai sesuatu keputusan. Kadangkala keputusan yang kita perlu buat itu akan mendatangkan mudarat atau ketidakselesaan kepada orang lain. Tapi kita terpaksa juga melakukannya.

Atau, kadangkala, kita perlu memilih untuk mengorbankan sesuatu, bagi memberi laluan kepada sesuatu yang lain. Semua itu perlu mendapatkan pertimbangan yang sewajarnya sebelum ianya dimuktamadkan. Sejujurnya aku bukanlah seorang yang bijak dalam membuat keputusan. Seringkali juga aku salah dalam membuat pertimbangan dan akhirnya keputusan itu mendatangkan musibah @ mudharat kepada diri aku. Tapi apa boleh buat, semua benda yang sudah berlaku tidak mungkin boleh berulang lagi. Apa yang mampu aku lakukan hanya menjadikannya iktibar agar ianya tidak berulang di masa akan datang.

Kalau difikirkan balik ke atas setiap keputusan yang penah aku lakukan sebelumini, satu yang dapat aku simpulkan, semuanya berdasarkan pengaruh dan kata hati yang kadang kala tidak betul sama sekali. Ya, ada yang memberi nasihat kepadaku,"ikut kata hati kamu"..dan memang aku mengikut kata hati, tapi kata hati yang salah! Jadi sebenarnya, apa cara atau tidakan yang betul untuk membuat sesuatu keputusan itu? Berapa lamakah tempoh masa yang ranum untuk menghasilkan sesuatu keputusan yang bijak? Adakah garispanduan tertentu yang menjamin setiap keputusan yang kita buat itu tepat?

Bagi aku, tidak ada jawapan yang tepat bagi semua persoalan itu. Semuanya berdasarkan pertimbangan dan takdir seseorang. yang penting usaha dalam mencari keputusan itu perlu setimpal, bagi menghasilkan keputusan yang tepat.

Aku sangat mudah dipengaruhi, sangat merendah diri dan sangat susah untuk mempercayai diri sendiri. Pelik kan? Sepanjang tempoh hayat kehidupan aku ini, rasanya aku masih belum cukup keyakinan diri untuk memulakan langkah baru dan menjadi pemimpin yang baik terhadap orang-orang yang sepatutnya aku pimpin. Masih banyak yang perlu aku belajar. tapi adakah matapelajaran untuk menjadikan diri kita matang dan yakin? Mungkin ada tapi segalanya berbalik kepada diri kita sendiri untuk menjayakannya.

Kalaulah ada mesin mencipta keputusan yang bijak dan membina keyakinan diri, aku nak beli satu!

Itulah gunanya otak, untuk berfikir dan untuk menyimpan segala memori yang telah kita bina. bayangkan sekiranya segala memori yang telah wujud di dalam akal fikiran kita lenyap secara tiba-tiba... sedih bukan. Pasti kita akan rasakan hidup ini tidak bermakna lagi, dan pasti orang-orang yang menyayangi kita akan turut merasa sedih.

Jadi, kesimpulannya, dalam membuat keputusan, jangan meluru, berfikirlah selama mana yang kamu mahu, dan jangan biarkan persekitaran mempengaruhi kamu dalam membuat keputusan. Berfikirlah dengan bijak.~

Sekarang ni pon banyak keputusan yang aku kena buat!!! Doakan agar segala pertimbangan yang aku buat itu tepat. Jangan biarkan aku dalam dilema lagi.

Amin~


2009-10-07

Letih @ Penat @ Capek

Semalam, sejurus selapas pulang dari kerja, aku rasa mata ni berat giler. Asyik nak terlelap saja. Penat dia mengalahkan orang bekerja membanting tulang 4 kerat kat sawah padi! Huhuhuhu tak boleh blah betol. Lalu sampai je rumah, aku terus kebabom terjun atas katil. Hasrat hati nak tidor sebentar sementara tunggu kawan-kawan serumah pulang. Tapi akhirnya aku boleh pulak terlena sampai ke pagi! Adoiiiii ngeri betol aku nih~ Naseb bek tak tidur terus!!! (Ngeri~!)

Bile aku fikir-fikir balik, kenapa kalau dah time balik kerja memang perasaan malas, mengantuk dan penat terlampau sering berlaku. Kalau dulu, rajin jugak aku pergi beriadah petang-petang, paling tidak pon ada saja aktiviti yang dirancang seperti tengok wayang la, lepak-lepak dengan kengkawan la dll. lagi. Tapi sekarang ni, semua tu dah jadi tak penting, yang pasti kalau balik kerja saja aku akan terus balik ke rumah dan tidor~ Huhuhu memang tak sihat lagsung. Aku rasa antara faktor yang menyebabkan keletihan melampau itu adalah, bila kite berada di pejabat, kita menggunakan sepenuh tenaga untuk menahan diri daripada mengantuk, dan menjalankan kerja-kerja (mana la boleh nak tidor-tidor kat opis kan melainkan pada waktu rehat). Jadi keseluruhan tenaga yang digunakan itu adalah secara maksima walaupun kita berada dalam keadaan yang sangat letih. Sebab itu bila habis sahaja waktu kerja, otak kita disetkan untuk menerima kelegaan daripada menanggung kesengsaraan itu dan hasilnya ...keletihan terlampau yang ditahan-tahan terpaksa diubati dengan tidur~

Tidup petang memang tak elok sebenarnya, tapi kalau dah letih tahap gaban adakah anda mampu menahannya lagi??? Kadang-kadang ada yang kata, "ko ni mengalahkan orang keje kat site pulak. Padahal duduk kat opis je~" Ha korang tak tau, sebenarnya bila duduk kat opis tu, dalam keadaan statik pulak, menahan diri daripada terlena dan memerah otak memikirkan penyelesaian kepada kerja-kerja yang berlambak, sebenarnya adalah lagi membebankan kepala otak kita. Sebab itu letih dia semacam aje (siapa setuju?). Lagi satu, aku ni pulak bukan jenis tidur siang (waktu lunch)...

Kesimpulannya, jangan cakap orang kejer membanting tulang 4 kerat jer yang letih bekerja, orang kejer kat opis pon letih jugak! (erk betol ke falsafah aku ni?? bedal saja lah~ itu yang aku rasa).

Lepas ni..kalau ada sesiapa yang nak ajak buat aktiviti petang, ajaklah aku..kalau aku free la....Nak elakkan tidur hahahahah.

PEACE ~


2009-10-06

Sengkek

Tidak semua benda yang dirancang selalunya menjadi. Dan tak semua yang berlaku itu menggembirakan, kadangkala ada yang memeranjatkan juga. Aku percaya ramai yang pernah mengalami situasi sebegitu.

Minggu-minggu selepas raya ni, macam-macam perkara pulak yang berlaku. Yang pastinya, ada dikalangan kita yang menepuk dahi (terutamanya kakitangan Kerajaan la kot) sebab duit gaji dah tinggal ciput. Almaklumlah, gaji masuk awal sebelum hari raya tempoh hari. Sekarang ni pulak masing-masing tengah pikir macamana nak dapatkan duit tambahan. Ada yang start berniaga semula, jual kain, tudung, baju dll. Ada juga yang ambik upah buat part time job, contohnya jadi photographer sambilan, menjahit pakaian, memasak dll.

Aku pon sebenarnya time ni agak sengkek jugak la. Tapi mujurlah aku telah mengambil langkah berjaga-jaga. (walaupun tak berapa nak berjaya). Duit gaji yang masuk awal hari tu, cepat-cepat aku transfer ke akaun lain dengan harapan aku tak menggunakannya. Alhamdulillah teknik tersebut berjaya. Tapi kalau dah tak pandai nak bajet, boleh terguna jugak duit tu...hehehe maklumlah, Hari Raya kan. Macam-macam benda kena pakai duit. Nak travel lagi, beli barang-barang lagi dan sebagainya.

inilah hakikat hidup seorang pemakan gaji. Sentiasa memerlukan ruang untuk hidup. Apa yang penting, kena pandai manage pendapatan kita supaya tidak sesak di kemudian hari. Tapi teknik yang kita nak gunakan tu jugak perlulah berbaloi. Disiplin diri jugak penting. Kalau tak, ko pindah la duit tu kat akaun mana pun, tetap jugak habis!!!

PEACE! Beringat sebelum kena.


2009-10-05

Lagi, Lagi dan Lagi~ Jom!!!

Masih cerita tentang bulan Syawal. Rata-rata sana-sini masih ramai yang dijemput menghadiri rumah terbuka, yang buat rumah terbuka pon ramai gak, yang kawin pon ramai juga termasuklah yang nak bertunang pon ada. Semua berebut-rebut nak berlangsung dalam bulan yang mulia nih. Alhamdulillah..cari keberkatan agaknya.

Minggu lalu, salah seorang makcik aku yang rumahnya di sekitar Lembah Kelang juga, telah menjemput aku sekeluarga menyertai rombongan meminang untuk anak terunanya (teruna ker???weakakaka). Jadi sebelum tiba hari tersebut, aku dah berangan-rangan dah nak beraya rumah saudara mara dan berkumpul bersama sepupu-sepupu sengalz aku tu sejak hari isnin lagi. Sepanjang minggu macam-macam aktiviti yang aku dah plan sampai kerja kat opis pon tak berapa lalu nak buat. hehe. (mood raya masih menebal)

Tiba hari Jumaat, aku terpaksa pulak ke Melaka, sekali lagi sebab ada kerja di sana. Adoiii spoil my mood la. Dah ler jauh, hari Jumaat pulak tu! Aku dah plan kengkononnya hari Jumaat lepas kerja nak pergi terus ke rumah abang di Gombak. Nak lepak-lepak situ dengan parents aku skali. Tapi hampeh, kalau dah ke Melaka, petang pulak tuh, pukul berapa pulak aku nak pegi rumah abang aku??? hmmmm... Tapi memandangkan aku ni Berkhidmad Untuk Negara, ku turutkan jua walaupun berat rasanya steering kereta aku untuk berputar.

Hari Jumaat, aku bertolak ke Melaka pada jam 2.15 petang. Disebabkan meeting start pukul 3.30, dengan kelajuan maksima 130km/jam aku tiba di Melaka tepat pukul 3.30. Adoi kalau ada polis buat speedtrap, alamatnya mamposlah aku nak bayar saman. Apa yang bestnya, perjalanan ke Melaka tak sia-sia rupanya, bukan setakat buat kerja, ditambah pulak dengan kemurahan hati seorang sepupu aku yang kerja kat Melaka tu membelanja aku makan seafood! Alhamdulillah..murah rejeki ko. Memang dah lama dah aku rancang nak pau budak nih, tapi tiap kali datang Melaka jer tak kena masa. So akhirnya hari Jumaat tu plan mengepau sepupu aku tu berlangsung dengan jayanya.

Bertempat di "Explorer Seafarer" [nanti aku cerita pasal nih kat Janggelfood] berdekatan Pantai Puteri, Sungai Udang Melaka, aku pon dengan tamaknya memesan beberapa jenis hidangan yang aku terasa nak makan (kes tak makan tengahari). Yang bestnya, ikan siakap yang aku pesan tu life lagi, siap cedok dari dalam laut. Best best! Pastu ada la beberapa hidangan lain sebagai pelengkap selera aku dan sepupu aku hari tu.

Malam tu jugak aku bertolak pulang ke KL. Sampai rumah dah pukul 10.30 malam, letih bangat! So aku batalkan hasrat kerumah abang aku tuh. Kesimpulannya pagi-pagi esok je aku pergi sana.

Sabtu pulak, tibalah hari yang dinanti-nanti kan (chewah macam aku pulak yang nak bertunang). Pagi-pagi sepiiee lagi aku dah gerak pergi rumah abang aku, Mak dan abah aku pon dah ada kat sana. Selesai breakfast, kami sekeluarga bertolak ke rumah makcik. Banyak juga kerja nak buat. Tugasan aku adalah menmbeli beberapa barangan untuk di buat hantaran, nak harapkan makcik-makcik yang pergi kedai, tak dapek..masing-masing bizi memasak. So aku dan sepupu aku yang nak bertunang tu pon pergi lah shopping di pagi2 hari. Naseb baik jalan tak jem dan barang yang nak dibeli tu ada.

Jam 2.30 petang, barulah kami semua bergerak menuju ke rumah bakal tunang sepupu aku tu di Bukit Antarabangsa, tapi belum sampai ke puncak lagi, gerun gak taku-takut ada tanah runtuh..huhuhuh ("choyyyyyyyyy" tetiber terngiang-ngiang suara opismate aku si Ling Chui yang selalu cakap macam tuh).

Alhamdulillah, majlis pertunangan berjalan lancar. Cepat giler! Tak sampai setengah jam dah settle. Gembira betol sepupu aku tuh. Hah la ni dia dah terbang ke Bandung nak beli barang-barang kawin! Siot jer... aku nak gak ikot!

Selesai majlis pertunangan, kami semua berkumpul semula di rumah makcik. Penat jugak la walaupun kami cuma pergi menghantar rombongan meminang. Aku pun dah tak larat nak berlama-lama kat sana. Dah selesai menjamah apa yang patut, aku pon balik semula ke rumah. Semua plan dengan sepupu-sepupu aku, ditangguhkan ke keesokan hari sebab masing-masing dah penat.

sambung esok pulak...







2009-10-01

Kisah Raya Janggel~

Sedar tak sedar, hari ini telah masuk hari ke 12 menyambut Syawal 1431H. Alhamdulillah, aku diberi kesempatan sekali lagi untuk menyambut Hari Raya Aidil Fitri bersama keluarga tersayang. Cukup Meriah!! Sudah pasti ramai di antara teman-teman aku juga turut merasai kemeriahan Lebaran saban tahun.

Seperti biasa, bila tiba time nak balik kampung untuk beraya, pasti aku yang menjadi orang terakhir yang akan meninggalakn rumah. Dua orang housemate??? awal-awal lagi dah bercuti dan pulang ke kampung! Semangat giler! Aku pulak tahun ini hanya pulang kekampung 2 hari sebelum hari Lebaran tiba. Fuh naseb baik jalan raya tak jem! Alhamdulillah~ Sejurus lepas berbuka puasa, ditemani hujan yang sangat lebat ketika itu, aku pun bersiap-siap untuk pulang ke kampung. Dalam hati, risau. Risau lambat sampai ke rumah. Dah la semua yang aku plan hari tu tak menjadi. Nak pergi basuh kereta...Fullhouse!!! Siap abang kedai cuci keter tu merayu-rayu mintak aku balik ...hmm aku paham dia pon penat, berpuasa dan mungkin nak balik kampung jugak. Dengan perasan sedih, petang tu aku terus ke JJ, kononnya nak shopping baju raya di saat-saat akhir. Hampeh jugak, semua aku tak berkenan...dalam kelam kabut dah dekat waktu bebuka, aku terus ke pasar Ramadan yang terdekat. Dah tak ramai peniaga yang berniaga. Hampeh lagik, tak tau nak makan apa! Last-last aku rembat nasi putih dengan lauk ntah apa-apa agaknya (Ikan sepat masak lemak yang sangatler tak sedap! Sorry yer peniaga ikan sepat, lauk anda memang tak sedap hari itu!). Jam dah pukul 7 malam, hujan lebat pon dah mula turun, jadi aku segera balik ke rumah.

Sementara menunggu masa berbuka yang tinggal beberapa minit tu, aku kemaskan beg baju untuk di bawa pulang ke kampung. Huh main campak-campak je, semua aku sumbat dalam beg. Hahaha selalunya kalau orang lain sure dah siap kemas beg seminggu sebelum balik kampung kan??? Naseb baik la baju raya yang aku dah beli minggu lepas aku dah sumbat sekali, siap dengan sampin baru lagi tahun nih! Yesssss (beli kat Jalan TAR dengan encik Deennasour, murah-murah dan murah!).

Lepas berbuka, aku terus bersiap-siap untuk balik kampung. Hujan makin lebat! Redah jerrrr. Alhamdulillah perjalanan lancar. Tiba di Perak jam 10.00 malam.

Keesokan harinya (Sabtu), pagi-pagi lagi aku meneruskan hajat yang tak tercapai. Basuh kereta! Puas hati aku basuh sendiri walau pon penat berpuasa. Aku sekeluarga akan menyambut Hari Raya di Selangor, kampung abah aku, sama sperti tahun-tahun sbelum ini. Tak sabar jumpa Embah dan sanak saudara yang lain! Best! Best!

Hari Raya tahun ni tiba jua (Ahad). Mula-mula aku rasa macam kurang meriah je sebab abang aku sekeluarga tak balik raya sama, dia pegi balik rumah Mak Mertua dia. Hmmmm takper lah, sedara-mara ramai. Selesai sembahyang raya, seperti biasa, tradisi keluarga kami akan berkumpul dan membaca tahlil dan doa selamat sebelum saling bersalam-salaman dan bermaaf-maafan sesama sendiri. Dah selesai semua tu dalam pukul 11.00 pagi barulah kami semua konvoi beraya ke rumah saudara-mara yang terdekat. Dalam kampung tu saja ada la lebih sepuluh buah rumah saudara-mara aku, tapi aku hanya sempat pegi 4 je. Wakakaka selebihnya, merayau!!! Banyak gak aktiviti aku dengan sepupu-sepupu aku tahun ni.

Begitulah seterusnya sehingga Raya ke 3, barulah aku kembali ke Perak. Kali ni nak balik kampung sebelah emak pulak, di Ipoh. Walaupon arwah atuk dan opah dah tak ada, kami telah berjanji untuk berkumpul saudara mara pada hari raya ke 4. Kenduri tahlil dan doa selamat berjalan dengan lancar, begitu juga dengan Mesyuarat Agong Keluarga. Alhamdulillah... walaupun ada yang tak dapat hadir, teknologi telah menyatukan kita, teleconferencing secara direct merentas benua, dan merentas Selat Melaka pon berjalan lancar. Thanks to urusetia yang sama-sama bertungkus lumus menjayakan aktiviti keluarga kali ini... penat ooo buat pamplet, tak tido malam gue!!!.

Selesai di Ipoh, aku dan keluarga pulang semula ke rumah. Keesokan harinya, saudara-mara dari Selangor pulak nak datang serbu rumah kami! Huh apa lagi, berhempas pulas la mak aku menyediakan juadah..menu wajib ialah LAKSA PENANG! Nyum nyum...tulah satu-satunya makanan peberet aku sejak kecik lagi. Aku pernah makan LAKSA PENANG selama 4 hari berturut-turut masa belajar kat U dulu...hahahaha!

Selesai saudara sebelah abah, saudara sebelah emak pulak datang serbu rumah. Adoaiiii...penat-penat..tapi best! Bukan selalu kan dapat berkumpul macam nih. Plan aku nak beraya rumah kawan-kawan sekolah semua cancel! huhuhu sorry yer kengkawan, kalau sempat nanti aku datang lah, raya kan sebulan.

Satu aktiviti wajib yang aku tak boleh tinggal adalah konvoi beraya ke rumah best friends aku yang 4 orang tuh! Hahaha nasib baik aku cuti lama. Teluk Intan - Tapah - Ipoh, semua diserbu. Best-Best! (walaupun aku tak dapat join semua)

Last day bercuti di kampung setelah lebih seminggu beraya, rasa berat je kaki nak balik KL. Tapi apakan daya, kerja kerja kerja! Alhamdulillah sekali lagi jalanraya tak sibuk. Semuanya berjalan lancar.

Hmmm sampai sekarang aku masih dalam mood raya, nak buat kerja opis pon rasa macam ala kadar jer. hahahah aku masih nak beraya! Takda sesiapa ker nak jemput pergi open house?????

PEACE!







POPULAR POSTS