Assalamualaikum!!!
Tak dapat dibayangkan kalau kehidupan ini hanya ada warna hitam dan putih, pasti hambar, tidak seronok dan lemau. Tapi itu semua tidak bagi Teater Muzikal Lat: Kampung Boy! Tema hitam dan putih menjadi asas kepada persembahan teater ini. Sepanjang babak pertama persembahan, segala-galanya diwarnai dengan warna hitam dan putih, dari segi set pentas, kostum dan persembahan grafik, semuanya merujuk kepada karya asal Dato' Lat yang dilukis di atas kertas dengan warna hitam dan putih! Sememangnya sangat menarik.
Aku berkesempatan menyaksikan persembahan teater Lat The Muzikal di Istana Budaya pada 2 April 2011. Sangkaan awal, teater ini berkisarkan kepada kisah-kisah kartun Lat Kampung Boy sepertimana yang dicetak di dalam naskah-naskah penerbitannya, tetapi sangkaan aku agak meleset. Sebenarnya teater Lat The Muzikal ini merujuk kepada kisah kehidupan Dato' Lat yang penuh ranjau sebelum mendapat pengiktirafan dunia! Sememangnya aku sangat kagum.
Persembahan teater dimulakan dengan tanyangan grafik kartun Lat di layar utama sebelum menyajikan kemeriahan hidup di Kampung Kota Baru, Gopeng, Perak. Kisah hidup Lat di zaman kanak-kanaknya yang sudah mula melukis sejak dari usia yang sangat muda.
Babak seterusnya berkisar penghijrahan Lat sekeluarga ke Pekan Ipoh dan merubah identitinya daripada Kampung Boy kepada Pekan Boy. Di sini juga komik pertamanya diterbitkan dengan bayaran 25 ringgit seawal usia 13 tahunnya. Bermula dari situlah Lat mengorak langkah sebagai seorang pelukis sehingga beliau berhijrah pula ke Kuala Lumpur dan bekerja di NST.
Sewaktu bekerja di NST, Lat mengharungi pelbagai dugaan hidup antaranya pemergian ayahnya yang menjadi pendorong dan peminat utamanya. Dunia Lat kosong sejak pemergian ayanya itu. Namun kehadiran Faizah telah menyerikan hidupnya. Lat berkembang menjadi seorang pelukis kartun profesional dan telah merantau ke beberapa buah negara di pelusuk dunia.
Namun begitu, kemasyhurannya telah menggugat keharmonian rumah tangga Lat, di mana ada babak menunjukkan pergelutan rumah tangga Lat. Faizah yang selama ini bersabar dengan kesibukan Lat telah menyuarakan rasa tidak puas hatinya dan mereka berjauhan seketika. Lat yang sedar akan perkara ini akhirnya mengambil keputusan untuk berpindah semula ke kampungnya di Gopeng dan hidup bersama keluarganya di sana.
Alhamdulillah, persembahan teater ini sangat mengujakan dan lagu-lagu yang didendangkan sangat best dan bermakna. Set pentas juga sangat cantik dan cukup untuk menggambarkan kehidupan yang dilalui oleh Lat.
Fakta tentang Teater Muzikal Lat :
- Teater terbitan bersama Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM) dan Tall Order Production (TOP) dengan kerjasama Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK) itu merupakan teater pertama yang mengadaptasi daripada sebuah novel grafik ke bentuk teater muzikal.
- Menurut penerbit TOP serta pengarah teater tersebut, Hans Isaac, pementasan teater ini juga bersempena ulang tahun kelahiran Lat ke 60 yang disambut pada 5 Mac.
- Antara pelakon yang menjayakan pementasan Lat Kampung Boy ini ialah Awie sebagai Lat, Atilia (Faizah - isteri Lat), Jalil Hamid (Bapa Lat), Shukeri Hashim (Pak Samad), Douglas Lim (Franky, kawan baik Lat) dan Sandra sebagai Mrs Hu.
Jom tengok Lat yang ditembak oleh aku malam itu.
PEACE!!!