Janggeltrekker's Life

2025-01-10

FRANCE: Annecy, Di Antara Keindahan dan Kehilangan

Annecy, yang sering digelar "Venice of the Alps," adalah tempat di mana keindahan dan ketenangan bergabung menjadi satu. Terletak di kaki gunung dengan tasik sejernih kristal, Annecy memeluk aku dengan suasananya yang romantis dan penuh pesona. Di sini, sarapan croissant dan secawan kopi panas terasa seperti ritual kecil yang penuh makna, walaupun di sudut hati masih ada rindu kepada nasi lemak sambal udang petai!

Jalan-jalan di old town Annecy memberikan pengalaman yang luar biasa. Lorong-lorong batu kecil dengan rumah berwarna pastel dan terusan yang mengalir perlahan membawa aku ke dunia yang seakan-akan keluar dari buku dongeng. Tetapi, seperti biasa, keasyikan sering membawa aku terlalu jauh. Tanpa sedar, aku telah melangkah hingga ke Culoz, kecil, sesat, tetapi penuh dengan cerita baharu untuk dikenang.

Namun, Annecy lebih daripada sekadar pemandangan postcard. Ia adalah tempat untuk kau melambatkan langkah, membenarkan dirimu hanyut dalam keindahan sederhana—cahaya matahari yang memantul di atas tasik, gelak tawa di pasar kecil, atau aroma pastri segar yang memenuhi udara. Di sini, setiap momen mengingatkan kau bahawa "healing" bukan tentang mencari tempat yang sempurna, tetapi tentang membiarkan dirimu menikmati saat-saat kecil yang membawa kebahagiaan.

“Kadang-kala, tersesat di tempat asing adalah cara terbaik untuk menemukan diri.”

Annecy telah mengajarkan aku erti perlahan, erti menikmati, dan erti bersyukur. Dan meskipun aku masih rindu kepada sambal udang petai di rumah, aku tahu pengalaman ini telah memberi aku lebih daripada sekadar rasa croissant. Ia memberi aku perspektif baru tentang hidup, tentang bagaimana keindahan boleh ditemui di mana-mana, selagi kau membuka hati untuk melihatnya.

Jadi, kalau kau rasa hidup terlalu menyesakkan, carilah Annecy dalam duniamu sendiri. Biarkan keindahan yang sederhana memberi kau peluang untuk bernafas kembali.

Apa yang menarik di Annecy?

Tasik Annecy (Lac d'Annecy): Tasik Annecy adalah salah satu tasik paling jernih di Eropah, dikelilingi oleh pegunungan yang menjulang tinggi. Anda boleh berkeliling tasik dengan menaiki bot atau hanya berjalan-jalan di tepi tasik sambil menikmati pemandangan yang menenangkan. Aktiviti berkanu, berlayar, atau berenang di tasik juga popular di kalangan pengunjung.

Old Town (Vieille Ville): Pusat bandar lama Annecy memancarkan keindahan abad pertengahan, dengan jalan-jalan berbatu, rumah berwarna-warni, dan terusan yang mengalir di sekelilingnya. Ia dikenali sebagai "Venice of the Alps" kerana terdapat banyak terusan yang menghubungkan bandar ini. Jangan lupa untuk melawat Pont des Amours (Bridge of Lovers) yang terkenal dengan pemandangan indah ke tasik. 

Château d'Annecy (Annecy Castle): Istana ini terletak di atas bukit dan menawarkan pemandangan yang luar biasa ke bandar dan tasik di bawah. Ia kini menjadi muzium yang mempamerkan sejarah tempatan, seni, dan budaya. Melawat istana ini memberikan peluang untuk belajar lebih banyak tentang sejarah Annecy dan menikmati keindahan seni bina purba.

Palais de l'Isle: Palais de l'Isle adalah bangunan bersejarah yang terletak di tengah-tengah terusan. Dahulunya sebuah penjara, bangunan ini kini menjadi muzium yang memaparkan sejarah Annecy. Struktur bangunan yang unik dan lokasinya di atas air menjadikannya salah satu mercu tanda yang terkenal di bandar ini.

Mont Veyrier dan Mont Semnoz: Jika anda suka hiking atau berbasikal, anda boleh mendaki ke Mont Veyrier atau Mont Semnoz, dua bukit yang menawarkan pemandangan yang menakjubkan ke atas Annecy dan tasiknya. Pada musim sejuk, kawasan ini juga menjadi destinasi popular untuk bermain ski dan snowboarding.

Festival dan Acara Kebudayaan: Annecy juga terkenal dengan festival-festivalnya yang meriah, seperti Festival Filem Animasi Annecy, yang menarik pengunjung dari seluruh dunia. Terdapat juga acara muzik, pameran seni, dan festival makanan sepanjang tahun.

Pasar Tempatan: Annecy mempunyai pasar yang sangat meriah, terutama pada hari Selasa, Khamis, dan Sabtu, di mana anda boleh membeli produk tempatan seperti keju, daging, buah-buahan, dan hasil pertanian yang segar.

Dari Geneva ke Annecy

Kalau nak ke Annecy dari Geneva, sebenarnya perjalanan ni senang sangat dan boleh jadi satu pengalaman yang seronok. Annecy ni sebuah bandar kecil yang cantik, terkenal dengan tasik yang jernih dan pemandangan gunung yang superb. Jadi, kalau korang dah ada di Geneva dan nak melawat Annecy, menaiki tren adalah pilihan yang paling mudah.

Dari Stesen Kereta Api Geneva (Gare Cornavin), yang terletak betul-betul di tengah-tengah bandar Geneva, korang boleh terus beli tiket tren ke Annecy. Tiket ni boleh didapati di kaunter tiket atau boleh je beli guna aplikasi telefon seperti SBB Mobile atau laman web SNCF. Memang mudah, tak perlu risau.

Perjalanan dengan tren ni ambil masa dalam 35 hingga 45 minit je. Biasanya, tren yang korang akan ambil adalah Tren TER (Transport Express Régional) yang agak selesa. Jangan lupa tengok luar tingkap sebab sepanjang perjalanan tu, korang akan nampak pemandangan hijau, bukit-bukit, dan mungkin salji di puncak gunung kalau musim sejuk. Rasa macam dalam filem!

Bila dah sampai di Stesen Kereta Api Annecy, korang akan terus berada dekat dengan pusat bandar. Dari stesen ni, boleh je jalan kaki ke tempat-tempat menarik di bandar atau kalau malas nak berjalan, boleh naik teksi atau bas yang tersedia. 

Harga tiket tren pun agak murah, dalam €15 hingga €25 untuk satu arah. Tren ni memang keluar tiap jam, jadi korang boleh pilih masa yang sesuai. Tapi, pastikan check jadual tren yang terbaru supaya tak tersalah waktu.

WASSALAM.

Annecy, France - Mei 2023


THAILAND: Damai Di Lereng Bukit Mae Kam Pong

Catatan di Mae Kam Pong Village.

Mae Kam Pong adalah tempat yang sukar dilupakan. Sebuah kampung kecil di lereng bukit Chiang Mai, penuh dengan suasana tenang yang hampir mustahil dicari di tempat lain. Rumah-rumah kayu tradisional terselit di antara kehijauan, dengan aliran sungai kecil yang mengalir perlahan, seperti membawa cerita kehidupan yang bersahaja.  

Langkah kami perlahan menyusuri lorong berbatu. Di sini, masa terasa seperti berhenti. Tiada bunyi deru enjin atau keramaian, hanya kicauan burung dan deruan angin yang membawa bau segar hutan. Segalanya terasa damai, seolah-olah dunia memberikan ruang untuk kau menarik nafas dan betul-betul menikmati apa yang ada di depan mata.  

Pendakian ke restoran di puncak adalah cabaran yang tak aku jangka. Ketinggian 650 meter mungkin kelihatan kecil di atas kertas, tapi setiap langkah terasa seperti perjuangan kecil. Nafas makin berat, peluh membasahi wajah, tapi tekad untuk melihat pemandangan di atas membuatkan aku terus melangkah.  

Akhirnya, selepas lebih 30 minit mendaki, kami tiba di puncak. Langkah terakhir terasa paling berat, tetapi pemandangan yang menyambut kami benar-benar seperti hadiah. Dari sini, kampung Mae Kam Pong terbentang seperti lukisan hidup. Atap rumah-rumah kecil diapit kehijauan hutan, sementara kabut pagi perlahan-lahan menghilang, membuka pemandangan gunung di kejauhan.

Segelas kopi panas terasa seperti hadiah selepas pendakian. Setiap hirupan membawa rasa puas, bukan hanya pada tubuh, tetapi juga pada jiwa. Di sini, aku teringatkan Cameron Highlands, tapi Mae Kam Pong lebih tenang, lebih asli. Tiada kesibukan pelancong, tiada deretan kedai yang sibuk. Hanya alam dan keindahan yang asli.  

Mae Kam Pong bukan sekadar sebuah tempat. Ia adalah satu perasaan, satu ingatan yang mengingatkan aku tentang pentingnya melambatkan langkah. Hidup tak perlu tergesa-gesa. Kadangkala, dalam berhenti, kita temui sesuatu yang tak ternilai, kedamaian, keindahan, dan kebahagiaan yang jarang kita sedari.  

Jangan takut untuk mula, kerana langkah pertama adalah kunci kepada segala kemungkinan. Kejayaan bukanlah destinasi, tetapi perjalanan yang mengajar kita untuk menjadi lebih kuat, lebih bijak, dan lebih baik.”

Entah bila aku akan kembali ke sini, kalau datang lagi, ia bukan hanya untuk pemandangannya, tetapi untuk peringatan bahawa hidup tidak perlu tergesa-gesa. Ada keindahan dalam berhenti, ada ketenangan dalam kesederhanaan, dan ada kepuasan yang tak ternilai dalam menikmati perjalanan. 

WASSALAM



Mae Kam Pong - Januari 2024



2025-01-09

VIETNAM: Aku dan Keretapi, Hanoi

Sepetang di Hanoi memang penuh cerita, dan Train Street adalah salah satu babak paling asli yang aku rasa menggambarkan kehidupan di sini. Hujan yang tiba-tiba turun macam pelengkap sempurna, mencuci jejak pelancong dan warga tempatan yang sibuk berjalan di sepanjang landasan kereta api. Setelah menunggu dengan sabar, akhirnya aku sempat menyaksikan detik yang dinanti, kereta api perlahan-lahan meluncur di celah bangunan sempit, diapit oleh orang ramai yang bergerak ke tepi dengan penuh keterujaan.

Sejam menunggu di situ langsung tak terasa sia-sia. Banyak momen kecil yang buat aku tersenyum sendiri. Ada seorang nenek tua yang melangkah dengan pantas di atas rel sambil membawa bakul buah-buahan, macam dia dah hafal setiap lekuk landasan tu. Seorang budak kecil bermain kejar-kejar dengan kucing jalanan, gelak tawanya bercampur dengan bunyi motosikal yang lalu walaupun lorongnya sempit! Di satu sudut, seorang lelaki bersandar sambil bermain gitar, lagu klasik Vietnamnya bergema bersama rintik hujan, mencipta suasana yang melankolik dan sukar dilupakan.

Dan aku, duduk di atas kerusi plastik kecil di tepi jalan, memerhatikan semua itu. Orang di sebelahku kecoh betul, sampai botol araknya jatuh, dan kami semua tergelak kecil, aku, dia, dan beberapa pelawat lain. Saat itu, dengan hujan, bunyi gitar, gelak tawa, dan hiruk-pikuk kehidupan terasa seperti babak dalam filem lama yang aku harap takkan tamat.

Bila akhirnya kereta api muncul dari kejauhan, suasana tiba-tiba jadi sunyi. Perlahan-lahan, gerabak kereta api itu meluncur di depan mataku, begitu dekat sampai aku boleh rasa angin yang dibawa pergerakannya. Telefon di tanganku memang merakam, tapi mataku lebih memilih untuk menikmati momen itu secara langsung, satu detik ringkas yang rasa seperti membekukan waktu di tengah-tengah kesibukan bandar Hanoi.

Pengalaman ini mengajar aku bahawa perjalanan bukan hanya tentang destinasi, tetapi juga tentang momen-momen kecil yang tercipta sepanjang jalan. Hanoi, dengan landasan sempitnya dan kehidupan yang terus berjalan di atasnya, mengingatkan aku bahawa keajaiban selalunya tersembunyi dalam perkara biasa, kalau kita tahu cara nak menikmatinya.

WASSALAM.



2025-01-08

EPILOG: Tuk- Tuk

New Delhi, sebuah kota yang tidak pernah sunyi. Deretan kenderaan yang membingitkan jalan raya, orang ramai yang bersimpang siur, dan bau masala yang menyusup hidung menjadi sebahagian daripada irama kehidupan kota ini. Di tengah kekalutan ini, tuk-tuk menjadi salah satu cara paling ikonik untuk menjelajah bandaraya yang penuh warna-warni ini.

Kami memutuskan untuk menaiki tuk-tuk dari Connaught Place menuju ke India Gate, salah satu mercu tanda terkenal di New Delhi. Seawal langkah pertama ke jalan, pemandu tuk-tuk sudah melambai-lambai dan memanggil kami dengan pelbagai tawaran. "Madam, sir! Cheap ride! Best tuk-tuk in Delhi!" jerit seorang pemandu sambil tersenyum lebar. Tawaran tambang bermula dari Rs200, tetapi selepas tawar-menawar yang penuh dramatik, kami berjaya mendapat harga Rs100.

Saat melangkah ke dalam tuk-tuk yang kecil itu, kami disambut dengan tempat duduk yang dilapisi kain bermotif tradisional, tetapi sudah pudar warnanya. Pemandu, seorang lelaki berusia pertengahan, memakai kurta lusuh dan senyuman yang sentiasa terukir. "Hold tight!" katanya sambil ketawa kecil.

Perjalanan bermula dengan penuh gaya. Tuk-tuk meluncur laju di celah-celah kesesakan lalu lintas. Horn bertalu-talu seolah-olah menjadi bahasa komunikasi utama di jalan raya. Kami melalui lorong-lorong kecil yang dipenuhi kedai, penjual jalanan, dan lembu-lembu yang berjalan dengan tenang di tengah jalan, seakan-akan mereka pemilik sebenar bandar ini.

Angin panas kota berhembus ke wajah kami, membawa debu dan aroma makanan jalanan—samosa yang sedang digoreng, teh chai yang menggelegak di dalam periuk kecil, dan kadang-kadang, bau rempah yang tidak dapat dikenalpasti. Pemandu kami sempat bertanya, "Where are you from?" dan kami menjawab, "Malaysia." Dia terus bercerita dengan bangga tentang Taj Mahal dan Bollywood, sambil sesekali menoleh ke belakang, walaupun kenderaan di sekeliling seperti menari dengan bahaya.

Ketika tiba di satu persimpangan, kami tersangkut dalam kesesakan lalu lintas yang luar biasa. Deretan kenderaan yang tidak bergerak, peniaga jalanan mengetuk tingkap kenderaan menjual barang, dan hon kenderaan yang tidak putus-putus, semuanya mencipta suasana yang hampir surreal. Pemandu tuk-tuk, tanpa sebarang amaran, memutuskan untuk memandu melalui lorong kecil yang kelihatan seperti tidak muat untuk sebuah basikal, apatah lagi sebuah tuk-tuk. Kami menahan nafas sambil ketawa, berasa seperti sedang menyertai perlumbaan ekstrem.

"Perjalanan yang terbaik adalah yang membuatkan anda keluar dari zon selesa dan mengajarkan sesuatu yang baru tentang kehidupan."

Ketika kami akhirnya tiba di India Gate, perasaan lega bercampur kagum. Pemandangan monumen ikonik itu begitu indah, berdiri megah di tengah kesibukan kota. Menaiki tuk-tuk di New Delhi bukan sekadar tentang perjalanan dari satu tempat ke tempat lain, tetapi sebuah pengalaman yang meresap jauh ke dalam jiwa, memperlihatkan kehidupan kota yang serba kacau tetapi penuh semangat.

WASSALAM

New Delhi - Mac 2013


2024-12-30

Resolusi 2025: Janggel Masih Wujud?

Assalammualaikum!!!

Pekabo? Ingat lagi ke? HAHAHA. Sejak beberapa tahun ni, banyak benda yang berubah dalam hidup aku. Tak kiralah dari segi cara fikir, emosi, atau tanggungjawab, semuanya rasa macam bergerak ke satu fasa yang lain.  

Kalau nak diimbas balik, dulu hidup aku lebih santai. Banyak masa boleh fokus pada diri sendiri. Tapi sekarang, dengan tanggungjawab yang makin bertambah, aku sedar banyak keputusan yang aku buat lebih tertumpu pada orang lain, keluarga, rakan-rakan, dan orang-orang penting dalam hidup aku. Bukan aku tak suka, cuma kadang-kadang rasa macam lupa nak tengok apa aku sendiri perlukan.  

Hidup ni dah tak macam dulu. Kalau dulu aku banyak luang masa untuk relaks dan buat apa yang aku suka, sekarang fokus lebih kepada kerja dan orang-orang sekeliling. Keputusan kecil pun rasa macam berat sebab aku nak pastikan semuanya berjalan lancar untuk semua orang. Memang ada cabarannya, tapi aku rasa itulah realiti bila kita mula dewasa, kena ada sebab untuk apa yang kita buat.  

Bila aku pandang balik perjalanan tahun-tahun lepas, aku sedar betapa pentingnya setiap langkah yang aku ambil. Kadang-kadang, kita sibuk sangat fikir nak capai sesuatu, sampai terlupa untuk nikmati apa yang ada depan mata. Ada masa aku rasa macam tak cukup buat untuk diri sendiri, tapi pada masa yang sama aku bersyukur sebab aku ada orang-orang yang buat hidup aku lebih bermakna.  

Untuk tahun 2025 ni, aku pasang azam nak ubah sikit cara aku hidup. Bukan nak buat perubahan besar-besaran, cuma aku nak lebihkan masa untuk jaga diri aku, fizikal, mental, dan emosi. Aku nak belajar untuk kata "tak apa" bila benda tak jadi macam aku rancang. Hidup ni tak perlu perfect, asalkan kita terus jalan ke depan.  

Selain tu, aku nak lebih banyak fokus pada benda-benda kecil yang aku suka buat. Kadang-kadang, sesuatu yang nampak remeh macam jalan-jalan sorang-sorang, habiskan buku lama, atau sekadar dengar lagu kegemaran boleh bagi rasa bahagia. Aku rasa inilah yang aku nak kejar, keseimbangan antara tanggungjawab dan ruang untuk diri sendiri.  

Tahun baru ni aku juga nak cuba jadi lebih berani. Kalau ada peluang datang, aku tak nak terlalu takut atau overthinking. Aku nak cuba terima apa yang datang dengan hati yang lebih terbuka. Cabaran akan sentiasa ada, tapi kalau kita pandang dengan mindset yang betul, semua tu boleh jadi pengalaman yang mendewasakan.  

Tahun 2025, aku harap aku boleh hidup dengan lebih tenang dan fleksibel. Tak perlu tergesa-gesa, tak perlu terlalu tertekan. Hidup ni bukan perlumbaan, dan aku nak pastikan aku ambil masa untuk hargai setiap momen, kecil atau besar. Semoga tahun baru ni jadi titik permulaan untuk aku bina kehidupan yang lebih seimbang dan bermakna.  

Selamat datang, 2025 – tahun untuk lebih memahami dan mengasah potensi diri.

Psst: Belum pencen berblog lagi, cuma rajin berblog dalam hati je sekarang ;p

Psst2: Kagum dengan DayahDJ yg masih berblog sampai tahun millenial ni.

WASSALAM


2023-03-16

Eh Hello Hye! From Nairobi With Love.

Assalammualaikum!!!

Long time no see ;p

Salam dari benua Afrika, Kenya bumi bertuah, and Im glad to get a chance to be here. Till then ... bye.

Tu je nak kabo... hahahaha.

Mac 2023. Two years after pandemic.

WASSALAM

2021-01-22

Roadtrip Ke Bangkok (Part 1): Kuala Lumpur - Alor Setar - Hatyai

 Assalammualaikum!!!

Hahaha macamana aku nak mula ye, kisah 5 tahun lepas baru ada niat nak blog tahun ni. Kira ada pencapaian la kan. Ok ni pun hasil dorongan kengkawan blogger terutamanya si DJ yang katanya akan memberi sokongan padu hahahaha.

Memandangkan sempadan negara kita ni entah bilalah akan bukak (dengar cerita 2023 baru bukak) maka aku nak tulis pasal pengalaman travel yang lepas-lepas, yang aku belum sempat blog lagi. Sebenarnya banyak siri travel yang aku malas nak blog dulu, dah jadi terbengkalau di draf je. Maklumlah katanya dah bersara jadi blogger kan, tapi sekali sekali terlogin jugak benda alah ni ;p

Kerja Gila: Roadtrip Yang Panjang

Sepanjang aku buat roadtrip di dalam dan luar negara, aku rasa ada beberapa siri roadtrip mega yang paling jauh yang aku pernah buat iaitu:

  1. Roadtrip OZ: Adelaide - Canberra - Sydney - Melbourne - Adelaide (Blogged)
  2. Roadtrip NZ: Christchurch - Aoraki - Wanaka - Kingston - Te Anau -Milford Sound - Queenstown - Dunedin - Akaroa - Christchurch (Blogged) 
  3. Roadtrip TH: Kuala Lumpur - Alor Setar - Padang Besar - Hatyai - Songkhla - Cha-Am - Bangkok - Ratchaburi - Petchaburi -  Hua Hin - Prachuap Khiri Khan - Petchaburi - Hua Hin - Surat Thani - Nakhon Si Tammarat - Alor Setar - Kuala Lumpur (Belum blog)
  4. Roadtrip OZ - Perth - Lancelin - Cervantes - Bunbury - Augusta - Leeuwin - Busselton - Perth (Blogged)
Haaaa nampak tak, dalam 4 roadtrip mega aku ni, 3 je yang dah blog. So kali ni aku nak teruskan niat untuk menulis kisah roadtrip Thailand! Bismillah. Tema roadtrip kali ni adalah Beg IKEA dan sandal. Awas pada sesiapa yang tak ikut tema ! ;p

Kami bermula dari Kuala Lumpur, perjalanan bermula jam 10 malam dengan mengutip ahli-ahli jemaah yang akan mengikuti perjalanan kali ini. Jemaah KL adalah aku, John, Nan, Rufy, Aishah dan Zura. Setelah mengutip Zura di stesen LRT Sungai Buloh, maka perjalalan meninggalkan KL pun bermula. Kami terus menuju ke Alor Setar untuk mengutip jemaah terakhir iaitu Ali.

Ahli jemaah.

Bantal dilupa jangan. Mana eh pi bantal aku yang ni sekarang? 

Kami tiba di AS lebih kurang subuh, dan cadangnya untuk terus masuk ke sempadan. Tetibe ada kejadian yang tak diingini berlaku. Ha sudah, PTPTN aku sangkut gais! Sial betul, napelah aku tak cek dulu sebelum trip ni hahhahahaha. Sumpah cuak masa ni, kengkawan dah ugut nak tinggal je aku hahahaha. Kami pun bergegas pi pejabat PTPTN kat AS dan settlekan apa yang patut. Lama jugak urusannya, dah membawak ke tengahari dah masa tu. Demmmm lari jadual trip kami. Tapi apa pun alhamdulillah syukur, selesai isu aku dan semuanya gembira. Syukur memasing saling memberi dorongan dan semangat! Hahahahaahaha. Gilalah bila pikir balik, memang lawak la masa tu. So sebab dah tengahari, maka kami terpaksa la lunch dulu kat AS sebelum terus masuk ke sempadan.

Debor kali kedua nak lepas sempadan, alhamdulillah lepas gais!!! Syukur! So kesimpulannnya sila semak dulu sebelum nak travel. Lols. 

Memandangkan jadual kami dah sedikit lari, maka kami kena cepat-cepat bergerak memasuki Thailand. Dan lokasi pertama kami adalah Hatyai. Perjalanan dari Hatyai dari Padang Besar adalah lebih kurang 45 minit. Satu yang aku suka bila roadtrip kat Thailand ni adalah jalan raya dia luas gais! Tapi kenderaan agak laju dan banyak, kena hati-hati lah. Trip Hatyai ni si Rufi yang drive. 

Kami terus ke Hatyai Floating Market. Masa tu dah agak petang dah nak masuk maghrib dah. Tapi keadaan kat sana masih sesak dengan pengunjung. Kami singgah di beberapa kedai untuk makan malam terus. Floating market ni rasanya bukak weekend sahaja dari Jumaat hingga Ahad. Jadi memandangkan kami gerak hari Sabtu, maka memang waktu puncak pengunjung ke sana.

Floating Market, Hatyai
Suasana petang Ahad
Saje lah nak zoom in.
Aumm chak.
Berwarna warni.
Kami
Kami lagi.

Dia lagi nak malam lagi ramai orang.
Share je lah, sebab miskin.
Sejenis ayam goreng cawan.
Gerai-gerai di sebelah atas pula.
Kat atas ni agak lengang.
Ada persembahan tradisional pulak.
Meliut.
Tak tergeliat ke pinggang adik ni.
Ok jom gerak.

Setelah menghabiskan masa beberapa jam kat FM, kami pun meneruskan perjalanan. Masa ni dah petang sangat dah, maka kami decided untuk menersukan perjalanan ke Bangkok. Sesambil tu singgah la kat mana-mana pekan kecik yang dirasakan menarik. Di Thailand ni, memang banyak convenience store macam 7Eleven, dan sewaktu dengannya dan segala macam benda ada jual kat situ. So kalau ada apa-apa benda nak cari seperti bekalan makanan dan minuman kami beli je kat mana-mana kedai yang kami jumpa. 

Stelah lebih kurang sejam perjalanan dari hatnyai, kami melalui Petchaburi dan nampak satu kawasan yang luas dipenuhi dengan garam bertompok-tompok. Rare gais! Kami singgah je tepi-tepi jalan untuk ambik gambar, firstime la nampak ladang garam depan mata. Ladang garam ni memang besar dan ada banyak sepanjang jalan, aku rasa masa tu kami lalu jalan kampung so memang dapat jumpa ladang-ladang garam ni. 

Ni la rupa ladang garam tu

Kami.
Lagi lagi kami.
OK last pose. 

Selesai posing-posing maka perjalalan pun diteruskan. Masa ni dah malam dah, tak banyak tempat nak singgah melainkan singgah di stesen-stesen minyak sebab nak cari tandas. Malam tu kami tidur je dalam van sepanjang perjalanan ke Bangkok. Ye la dari Hatyai ke Bangkok tu jaraknya 943 km dan masa perjalanan lebih kurang 12-14 jam! Kalau berenti banyak kali memang lusa lah kami sampai. 

OK gais, aku sambung nanti lah. Nanti banyak sangat benda korang nak digest hahaha, kasi paham dulu route pertama kami yakni KL-AS-Padang Besar-Hatyai-Petchaburi -Bangkok. Akan bersambung di Part 2 bila aku rajin.

WASSALAM.

POPULAR POSTS