EPILOG: Aku Di Kundasang, Sabah… Rindu Menatap Kinabalu

Angin subuh di Kundasang menyelinap ke relung tubuh, menggigilkan setiap urat nadi. Aku bersimpuh di tengah jalan sepi, menghadap Gunung Kinabalu yang megah berdiri dalam kesunyian yang syahdu. Cahaya fajar perlahan-lahan menyentuh wajahnya, mewarnai dinding-dinding batu dengan kilauan keemasan. Awan-awan nipis berarak perlahan di langit biru, seakan menjadi selendang halus yang menyelimuti keagungan gunung ini.  

“Kau tak sejuk ke?” suara sahabatku memecah hening.  

Aku tersenyum kecil, mata masih terpaku pada Kinabalu. “Sejuk itu hanya sementara, tapi kehilangan saat ini adalah kekal. Maka biarkan aku menikmati setiap hembusan angin dan bisikan sunyi gunung ini.”  

Dia ketawa kecil, berdiri di tepi jalan, menyaksikan aku yang masih terpaku dalam pesona alam. “Pergh… dah macam seoarang pujangga yang sedang meratapi nasib.”  

Aku menghela nafas perlahan, lalu bangkit dan merentangkan tangan. Dada terasa lapang, seakan seluruh semesta masuk ke dalam jiwa. Di hadapanku, Kinabalu berdiri teguh, menjadi saksi ribuan tahun sejarah, menjadi pendengar rahsia yang tak terungkap.  

“Ko rasa, kalau kita berseru ke arahnya, akankah ia menjawab?” sahabatku bertanya, nada suaranya separuh berjenaka.  

Aku tersenyum, menatap gunung yang agung itu dengan penuh takzim. “Kinabalu tidak perlu bersuara, kerana diamnya telah berkata-kata. Setiap tiupan angin, setiap bayangan awan yang melintas, setiap riak cahaya yang menari di puncaknya, itulah bahasanya.”  

Aku melangkah mendekat, menatapnya dengan penuh rasa hormat. “Wahai Kinabalu, berapa banyak kisah telah kau saksikan? Berapa ramai yang datang dengan impian, lalu pergi dengan kenangan? Adakah manusia bagimu hanya bayang-bayang yang datang dan pergi, sementara kau tetap abadi di sini?” 

Angin berhembus lembut, dedaunan berbisik dalam irama yang seakan menjawab. Kinabalu tetap diam, namun aku merasakan kehadiran jiwanya, menyimpan rahsia yang tak terungkap, memeluk waktu dengan ketenangan yang tak tergoyahkan.  

Di sini, waktu terasa beku. Tak ada hiruk-pikuk manusia, tak ada gelisah dunia. Hanya aku, sahabatku, jalan yang sunyi, dan Kinabalu yang membisu namun berbicara dalam bahasa yang tak mampu difahami manusia biasa.  

Sebelum melangkah pergi, aku menoleh sekali lagi. “Aku akan kembali, Kinabalu. Kerana dalam diam dan megahmu, ada sesuatu yang selalu memanggil jiwa yang resah.”

WASSALAM.


Kundasang, Sabah - September 2018


Comments

  1. Betul moment sesaat yg kita enjoy di sesuatu tmpt yg susah dan jauh bg kita akan hilang itulah moment yg paling tak boleh dihalang.. mengamit memori yg indah..

    ReplyDelete

Post a Comment

Thanks for Coming...Please leave your comment here.
Introduce yourself first or else aku tak layan. Thanks!

Popular posts from this blog

Padang Besar, Perlis : Syurga Membeli-Belah di Utara Tanahair ?

Food Hunter: Nasi Ganja Yong Suan, Ipoh

ERL Dan Bas (Putrajaya ke LCCT)

Lombok (Part 1): Welcome to Lombok!

Kisah Sarapan Roti Bakar Telur Goyang di Transfer Road Dan Berjumpa Blogger Ceria