2011-09-09

Kami Penat Bila Tiba Hari Raya (Tapi Puas)

Assalamualaikum!!!

Hahaha tak habis-habis lagi cerita raya. Kan raya sebulan, aku rasa ramai yang bakal mengembongkan perut dengan jemputan-jemputan open house di rumah sesiapa sahaja yang menjemput. Alhamdulillah hujung minggu ni aku pun ada 2 jemputan Rumah Terbuka Hari Raya...tapi belum pasti dapat pergi ke tak, tengok keadaan la.

Berbalik cerita pasal hari raya, aku dan family balik ke kg arwah atok dan opah di Ipoh pada hari raya ke 3. Alhamdulillah, walaupun atok dan opah dah tak ada tapi masih ramai saudara-mara aku di Ipoh, adik beradik mak aku memang ramai, setanding adik beradak ayah aku!

Jadi kesempatan pulang ke rumah atok dan opah kami semua mengadakan majlis perhimpunan keluarga. Memang setiap tahun sejak pemergian kedua nenda tercinta kami akan berkumpul pada hari raya ke 3 di rumah arwah dan bertukar-tukar cerita. Maklumlah ada di antara kami yang berjumpa hanya setahun sekali. Masa tu lah nak bincang pasal kawin anak, pasal hari keluarga, pasal kebajikan dan sebagainya. Memang best!

Aku di Ipoh tak lama, sehari je, lepas tu dah balik ke rumah mak ayah aku. Keesokkan harinya pulak, rumah mak ayah aku diserbu oleh sanak saudara dari kampung. Dah biasa dah, diorang ni semua suka buat kunjungan balas, sekali datang penuh satu rumah. Memang meriah lah...masa ni la mak aku masak macam-macam, dan seperti biasa aku dan adik beradik yang lain kene jadi assistant tukang susun gelas, susun pinggan, vacum karpet, buat air dan sebagainya.

Sebelah petang pulak aku cabot lari pergi beraya rumah kengkawan!! *Memang kejam jugak la sebab kat rumah tengah ramai tetiba aku lari, hahaha tapi nak buat macamana kan, cuti raya pon tak lama dan masa tu je lah aku ada untuk ziarah kawan-kawan rapat yang kerja jauh-jauh. Satu lagi aktiviti wajib, aku dan kawan-kawan aku akan buat Tour Raya dari satu rumah ke satu rumah di sekitar negeri Perak, bermula dari Teluk Intan sampai ke Ipoh (sebenarnya tahun ni agak kurang sikit aktiviti tour sebab banyak kengkawan aku yang tak balik raya).

Hari-hari macam ni lah yang sangat seronok, jumpa kawan-kawan, saudara-mara sambil bertukatr-tukar cerita. Best! Kengkadang tu rasa macam tak puas bercuti, sebab banyak aktiviti yang aku tak sempat buat. Rasanya tahun lepas siap boleh pergi bercuti di Pulau Pangkor!!! Tahun ni rasa macam suntuk sangat. Mungkin sebab tarikh jatuhnya Hari Raya tu menjadi salah satu faktor jugak kot.

Tak sabar nak bercuti! Plan memang macam-macam tapi tak tau sempat ke tak nak buat. Tapi insyaallah dalam seminggu dua ni aku harap dapat la jugak pergi mana-mana, sebab meter ketensinan tiba-tiba naik mendadak!!!. I need a break! Oklah nanti aku sambung cerita...

PEACE!


Udang goreng kunyit! menu terbaik bagi aku di Hari Raya!

Perhimpunan keluarga di Ipoh.
Mencari kelainan...makan KFC.
Budak tojen makan mee!
Open House!
Menu wajib Hari Raya
Tour Raya 2011
Yeay!!!!



2011-09-07

Jom Makan Pecal dan Sambal Taun (Tahun) : Selamat Hari Merdeka!

Assalamualaikum!!!

Tak habis-habis lagi kisah raya aku kan! Mesti dah ada yang termuntah nak baca. Ok la malas dah citer kisah perilaku sengal aku time-time raya. Aku terus cut the story je lah.

Hari Raya Kedua, semua dah tau yang kita juga menyambut Hari Kemerdekaan Malaysia yang ke????

Kompom ramai yang tatau tu, semestinya yang ke-54 tahun! dah tua dah negara kita ni, tapi pemikiran rakyatnya masih ramai yang macam belum akil baligh...betul tak? Maksud aku, masih tak maju ke hadapan la, tak matang berfikir untuk menyaksikan negara kita lebih berdaya saing.

Dalam sebok-sebok beraya, sempat juga tembak pose-pose merdeka/patriotik/sengals! Hahahaaa.


Tu dia, kengkononnya TUGU NEGARA la tu!!!

Pemuda harapan bangsa, Pemudi TIANG negara...tu semua tiang tu pemudi la tu wakakakaka.
Oklah, entry kali ni aku nak cerita pasal juadah paling popular kat kampung aku bila tiba hari raya! (tak sah kalau takde entry makan!). Pepagi raya, menu wajib yang kena ada atas meja semestinya lemang, ketupat dan rendang! Tapi ada lagi masakan special masyarakat Jawa di kampung aku yang memang wajib ada di setiap rumah iaitu Pecal dan Sambal Ttaun! Korang pernah jumpe ke makanan-makan tu?

Untuk Kemang lemang, ketupat dan rendang tu aku rasa memang ramai yang dah tau, malahan ada yang sampai berlobang-lobang gigi makan rendang di hari raya!!! Betul tak Anash??? *ampunnnn hahaha. Tapi Pecal??? Sambal Taun??? mesti ada yang tak pernah jumpa.

Pecal ni makanan paling simple bagi aku dan sedap! Kekuatan utamanya adalah pada kuah kacangnya (kami panggil kuah pecal). Kalau orang yang pandai buat kuah pecal, pasti terangkat habis bila makan. Pecal merupakan gabungan beberapa sayuran seperti kacang panjang, kangkung, taugeh, tauhu, bihun, timun dan apa-apa saja jenis sayuran yang korang rasa nak makan, direbus dan kemudian dicampurkan dengan kuah pecal (kuah kacang yang dikisar dengan cili dan asam jawa). Memang sedap kalau dimakan begitu saja! Pernah try tak?

Sambal Taun pulak merupakan salah satu menu wajib keluarga kami. Ianya memang sangat pedas sebab masyarakat Jawa terkenal dengan masakan yang pedas-pedas. Kalau sekali tengok ia seakan-akan masak lemak cili padi, cuma kuahnya taklah sepekat masak lemak tu. Ingredients utama adalah daging, hati, limpa, perut, kacang tanah, lengkuas, cili padi dan santan. Sejarah nama sambal taun ni, masa aku tanya nenda aku, dia cakap sambal ni tahan lama, kalau orang makan bertahun-tahun pon tak jemu...sebab tu namanya dipanggil sambal taun (tahun). Best tak citer aku???

Selain makanan-makanan yang aku cerita kat atas, ada satu lagi menu yang sangatlah popular bila time raya iaitu Laksa Penang! Aku pergi rumah makcik aku time open house ada Laksa Penang, open house rumah mak aku hari tu pon ada Laksa Penang.Dah la aku ni memang giler hantu dengan Laksa Penang, pernah sekali tu aku seminggu berderet aku belasah Laksa Penang tanpa rasa jemu!!!

Sebenarnya, kalau nak sebut pasal menu hari raya memang tak tersebut kat sini. Macam-macam! Maklumlah Malaysia ni kan syurga makanan. Malaysia Truly Asia katanya kan! Tapi satu aku nak cerita, walaupon mak bapak aku ada bisnes biskut raya, sebenarnya aku langsung tak minat makan biskut raya, malahan kalau orang hidang biskut raya depan mata aku tak teringin langsung nak makan. Tataulah kenapa hehehe. Sebab tu bila time orang sibuk-sibuk ngidam nak makan biskut raya, aku pulak buat tak kisah je. Tapi kalau ada Laksa Penang, memang aku yang mula-mula beratur! Hahaha.

Oklah, nanti aku citer kisah orang datang beraya pulak yer.

PEACE!


Nasi Impit jugak boleh dimakan dengan pecal.

Bahan utama pecal!
Pecal yang sedia dimakan.

Inilah Sambal Taun.

Laksa Penang

Sedia untuk dimakan!
Kami gembira!



2011-09-06

Hari Raya Pertama (1 Syawal) Semakin Menjadi-Jadi

Assalamualaikum!!!

Sambungan dari SINI

Kalau diikutkan memang penat bila sehari suntuk beraya, manakan nak pergi beraya rumah orang, lepastu melayan orang beraya kat rumah nenda lagi. Kalau dulu masa kecik-kecik bolehlah buat hal sendiri, main tepi longkang, main mercun, meriam semua...tapi sekarang dah officially kena jadi penyambut tetamu pulak, sebab mak bapak pergi beraya, kita tinggal rumah..*hehe alasan malas nak jadi driver.

Raya tahun ni pon dah tak banyak rumah yang kami ziarah. Selalunya kami sekeluarga akan beraya di rumah yang mana orang-orang tuanya (adik-beradik nenda aku) masih ada. Mana yang dah meninggal tu kami tak pergi dah sebab kebiasaannya rumah tu pon dah tak ada orang, anak-anak mereka pon mungkin tak balik beraya. Jadi tahun-demi tahun menyaksikan penurunan jumlah rumah beraya. Tak kisah la janji rumah nenda aku meriah.

OK, sebelah petang tu, lepas dah bosan asyik pergi beraya rumah orang je, aku dan kazen-mazen aku pakat ramai-ramai nak buat photo shoot! Hahaha itulah yang bestnya tengtang kazen-mazen aku, bab-bab berposing memang cukup professional! Mengalahkan artis mee segera! Sebenarnya aku dah plan awal-awal dengan salah sorang kazen aku, nak mintak dia tolong tembak gambar aku dengan sepuluh cabaran (kengkonon nak masuk contest Bibique) tapi apakan daya, lain yang dirancang lain yang jadi...adoi melepas aku hadiah lumayan...rasanya tak sempat dah kot aku nak join sebab manakan nak cari lemang ketupat pastu berposing dengan abang/akak polis, naik beskal??? mana nak cari beskal kat tengak kota ni, pastu nak cari rumah lama yang usang sambil makan kuih raya??? adoi semua tu tinggal kenangan je lah nampak gayanya. Pasrah...

Akhirnya benda lain yang kami buat, pergi bendang arwah atok dan tembak gambar-gambar sengal. Ni nak cerita ni, saban tahun (cewah ayat aku bukan main kan) kami ada album raya bertajuk Sengal-Sengal Aidil Fitri! Cuma tambah tahun je kat belakang tajuk tu, so tajuk album tahun ni adalah Sengal-Sengal Aidil Fitri 2011. Masa ni la kami nak buat kerja gila, merayau keliling kampung, lompat sana-lompat sini, buang tebiat bersama-sama...tak kira lah yang dah kawin ke, yang bujang ke, yang budak ke semua akan join. Masa ni sajalah yang ada untuk kami semua berkumpul beramai-ramai mengeratkan silaturrahim. Maklumlah setahun sekali je jumpa, masing-masing duduk jauh.

Bila dah depan kemera, apa lagi masing-masing tunjuk bakat la! Dari bendang sampai ke tengah pekan semua kami ronda. Tu baru namanya rombongan Ck Kiah! Paling best bila kami terserempak dengan sekumpulan Bangladeshi yang rasa-rasanya bercuti sempena hari raya! Boleh pulak bercuti beramai-ramai kat kampung aku?? Kalau bercuti kat KL ke, pantai-pantai peranginan ke lainla hahaha...lawak pulak bila tengok diorang pon sebok-sebok posing seolah-olah nak bertanding dengan kami! Heheheh.

Habis kisah Album Sengal-Sengal Raya 2011. Sebelah malam pulak, kami serbu rumah aunty aku yang terletak berhampiran dengan rumah nenda. Memang biasa dia buat open house pada malam raya sebabnya semua sedara-mara masih ada di kampung. Ye jugak kan, kalau buat open house tapi takde orang datang serupa macam tak payah buat open house kan.

Lepas habis join open house rumah auntie aku, kami semua decide nak pergi countdown Hari Merdeka! Ye tak ye jugak kan, malam ni malam Merdeka. Menurut info, ada satu rumah orang kaya kat Pekan Sungai Besar ni yang akan bakar mercun KLCC 12 bijik. Fuh berapa riban agaknya dia habis bakar duit tu, tapi lantak dia lah, dah nama pon orang kaya kan. Yang dapat jamu mata kami-kami ni jugak. Best jugak bila tengok bunga api memalam raya ni. Persembahan bunga api agak panjang, dalam 30 minit jugak la. Yang berhenti tepi-tepi jalan pon ramai. Semangat hari merdeka la katakan.

Bagi yang tak tahu, kita sambut Hari Merdeka yang ke 54 tahun ni dan sambutan hari merdeka peringkat Kebangsaan akan diadakan pada 16 September 2011 sempena Hari Malaysia.

Lepas habis pertunjukan bunga api, kami ramai-ramai lepak di gerai steambot milik salah sorang kazen aku yang beroperasi malam tu. Katanya untung bersih malam tu saja lebih RM 2000!!! Giler ko, gigih berniaga hari-hari raya! Rezeki la kan. Kami lepak-lepak sampai pagi...esok nak sambung raya lagi.

Nanti aku sambung lagi...

PEACE!
Kampungku yang permai...lalalala~
Tiga budak sengals.
Aksi mengendap kerbau berkubang.
Tak betol sket perangai bebudak nih hahahaha.


PERHATIAN: GAMBAR-GAMBAR SELEPAS INI AGAK MERNGERIKAN...SILA TABAH UNTUK MELIHAT

Aksu Tapak Sulaiman!!! Ko Ada?
Gaya chomel!

Gambo sengal pertama.
Hadoiiii dah dah..tak larat dah aku nak melayan aksi-aksi spastik kome...:)
Orang ramai menyaksikan pertunjukan bunga api.





2011-09-05

Hari Raya Pertama (1 Syawal) Di Kampung

Assalamualaikum!!!

Sambung balik kisah hari pertama beraya di kampung. Seperti biasa seawal pagi aku dan semua ahli keluarga dah bersiap sedia dengan baju raya masing-masing untuk ke Masjid Sungai Limau untuk solat sunat Aidil Fitri. Kalau korang nak tahu, aku memang tak tahu baju raya aku kaler ape tahun ni sehinggalah sehari sebelum hari raya, mak aku bagi kat aku..sekali warna kuning daaaa (kaler yang aku tak gemor). Kenapa kuning? Sebab tahun ni, tema baju raya kami semua di kampung adalah kuning. Jadi terpaksalah aku menurut sahaja. Janji aku ada baju raya!

Sambung balik cerita di pagi raya, kami sekeluarga selalunya akan menunauikan solat sunat Aidil Fitri di masjid. Semua, termasuklah nenda aku, mak aku, makcik-makcik aku, kazen-mazen aku dan anak-anak sedara. Jadi, pagi-pagi dah kecoh berebut kereta mana nak naik. Hehehe.

Solat sunat Aidil Fitri biasanya akan bermula pada jam 8.45 pagi dan selesai khutbah pada jam 10.30 pagi. Selepas bersalam-salaman sesama jemaah, kebiasaanya kami akan duduk di anjung masjid sambil memakan berkat yang dibawa oleh setiap keluarga di kampung itu. Maksudnya macam-macam jenis makanan ada dikumpulkan dan kebiasaannya kami tidak memakan bekalan yang kami bawa, kami akan mengambil bekalan dari keluarga lain.

Selesai makan, barulah kami semua pulang ke rumah nenda. Masa ni la kalau nak sambung makan. Bila semua dah berkumpul barulah acara bacaan doa selamat diadakan. Selalunya Pak Long aku lah yang jadi ketua. Bila selesai bacaan doa, kami semua akan beratur dan bersalam salaman sesama sendiri terutamanya dengan nenda tercinta. Masa ni lah drama air mata semua keluar dan budak-budak semua dapat duit raya. Bila dah selesai bermaaf-maafan, barulah kami semua bergerak ke rumah atok-atok dan nenek-nenek sedara yang berdekatan. Kebiasaannya kami akan bergerak sekali, paling kurang pon 7 buah kereta akan bersusun. Kebanyaka rumah yang kami pergi adalah rumah adik beradik nenda aku, mana yang masih ada. Time macam nilah nak kenal dengan sedara-mara jauh kalau tak..harammmmm nak nampak muka hahaha.

Nenda aku seperti biasa akan tunggu di rumah dengan sorang makcik aku. Dia kene ada di rumah sebab kebiasaannya juga keluarga sebelah adik beradik dia pun akan datang serentak beraya ke rumah nenda aku. Sama jugak situasinya berdoyon-doyon yang akan datang. Apa yang paling aku suka adalah tertib ketika menziarah rumah orang tua, style Jawa, kami akan duduk berhadapan dengan orang yang lebih tua dan memohon maaf di atas salah silap sepanjang tahun. Masa ni macam-macam slang jawa keluar walaupon aku tak paham hehehe. Maklumla Jawa murtad.

Sebelah pagi kami dapat selesaikan 4 buah rumah. Tak dapat banyak sebab masa pun suntuk. Satu lagi keunikan kampung ayah aku ni, adalah BARAAN. Apa itu baraan? Baraan adalah rombongan sekampung samada lelaki atau perempuan yang mewakili setiap rumah di dalam kampung itu. Mereka akan beramai-ramai pergi beraya dari satu rumah ke satu rumah sambil mendoakan kesejahteraan tuan rumah yang dilawati. Memang kecoh bila rombongan sekampung datang serbu rumah kita. Kebiasaannya, kami akan sediakan kuih muih dan minuman sebelum Baraan sampai. Bila Baraan dah mula tiba di rumah jiran sebelah, kami pun kelam kabut menyusun kuih di anjung. Memang best sebab kita akan menyambut semua tetamu dan kompom rumah ko akan jadi sendat sampai ada yang duduk di muka pintu.

Paling best semestinya budak-budak...bayangkan kalau satu kampung ada 80 buah rumah, satu rumah bagi RM2, dah berapa RM ko dapat hari tu kan??? bestnya....Kebiasaannya juga, telah ada jadual yang disusun oleh ketua Baraan di mana senarai rumah-rumah yang akan dikunjungi pada masa-masa tertentu disediakan bagi memudahkan tuan rumah membuat persiapan.

Memang penat jugak la beraya dan dirayakan di hari raya pertama. Sebelah petang kami sambung lagi beraya...dan yang paling best, aku dan kazen-kazen aku dah plan nak meredah bendang petang tu. Memang havoc habis. Tu pon bukan semua yang balik, kalau tak lagi kecoh!!! Tambahan pulak malam tu pulak dah boleh countdown Hari Merdeka! Ok part meredah bendang dan countdown tu nanti aku cerita di next entry.

PEACE!!!

Posing depan rumah...wajib.
Nenda, mengintai dari tirai kamar hahaha.
Tak sangka aku masih dapat duit raya!!! Duit raya pertama aku!
 




2011-09-04

Kenangan Hari Raya Dulu-Dulu Hingga Kini

Assalamualaikum!!!

Kembali bersiaran setelah sibuk beraya selama seminggu. Aku yakin masih ramai yang bermalas-malasan kat opis, sebab masih dalam mood raya kan? an ada jugak yang masih bercuti! (over giler cuti berlebih-lebihan!* mood jeles!)

Ok banyak benda sebenarnya nak cerita di sepanjang minggu raya nih, tambahan pulak sambutan hari merdeka pun jatuh pada minggu yang sama! Dan seperti biasa lah aku akan tepek macam-macam cerita kat sini untuk aku baca sorang! Kalau korang takmau baca pon, ada aku kesah??? Hahaha.

Aku start cuti raya pada hari Sabtu, tiga hari sebelum Hari Raya, so sempatlah aku berpuasa bersama ibu dan bapa tercinta di kampung. Pada hari Ahadnya pulak aku sempat menziarah kubur arwah atok dan opah aku di Ipoh. Alhamdulillah, kubur arwah atok dan opah kemas dan tidak semak, jadi tak payahlah kami bersusah payah menebas atau memotong rumput.

Seperti biasa, setiap kali Hari Raya Aidil Fitri aku dan keluarga akan pulang ke kampung ayah aku di Sungai Besar, Selangor. Satu-satunya nenda yang masih ada jadi kami mengambil peluang untuk menyambut hari raya bersama-sama nenda. Tapi tahun ni ramai dikalangan saudara-mara aku yang tidak dapat balik beraya di kampung, jadi kemeriahannya agak berkurang. Tak apa lah janji raya kan.

Kami pulang ke kampung di Sungai Besar pada hari Isnin, sehari sebelum hari raya. Alhamdulillah jalanraya tak jem walaupun banyak kereta. Dan seperti kebiasaannya juga bila dah tiba di kampung, tempat pertama yang kami sekeluarga tuju adalah kubur arwah atok. Setelah selesai ke kubur barulah kami ke rumah nenda.

Dan seperti biasa juga, hari terakhir Ramadhan kami berbuka puasa beramai-ramai di bawah rumah sebab tempatnya lebih luas untuk menampung kami semua termasuklah saudara mara yang lain. Memang meriah dan kecoh. Sebelah malamnya pulak, aku tak melepaskan peluang ke pekan Sungai Besar untuk meninjau-ninjau keadaan pasar lelong. Fuh memang ramai gile manusia kat situ dah macam berada di Jalan TAR!. Nak jalan pon kena berasak-asak, waktu itu jugalah semua barangan akan dilelong dengan harga yang sangat-sangat rendah sehingga ada yang serendah 1 sen! Bayangkan, macamanalah tak ramai manusia!. Dan dari situ jugak aku tahu yang penduduk Sungai Besar ni rupanya sangat ramai.

Kalau dulu, waktu zaman kanak-kanak, malam raya memang saat yang sangat best. Aku dan sepupu aku akan berjaga sampai ke pagi. Macam-macam yang kami buat, main mercun, perang mercun roket dengan anak jiran sebelah...walaupon mercun roket tu akan melintas kebun koko tapi tetap akan sampai ke dalam rumah. Bila mercun meletop, satu rumah menjerit dan melatah hahaha. Yang paling best bila join pakcik-pakcik aku main meriam batang kelapa..dan sekarang meriam batang paip! Fuh terbaek! Kami semua akan lepak di tangga rumah sampai ke pagi. sedar-sedar je semua terlelap atas tangga.

Para ibu pulak sibuk menyusun kuih raya ke dalam bekas. Maklumla, pesen beraya kat kampung ni lain, tak macam kat bandar. Kalau orang datang beraya bukannya sorang dua je, tapi sekampung akan datang beraya. Yang bawak keluarga 5-6 kereta pon ramai. Sekali serbu, penuh satu rumah. Itulah kemeriahannya bila beraya di kampung...Aduiii rindu saat-saat dulu.

Sekarang ni, kemeriahan tu dah tak terasa, lampu pelita panjut pon dah dah tak ramai yang pasang. Ada pulak diganti dengan lampu mentol sepanjang jalan dari rumah ke hujung tebuk. Zaman moden katanya. Tak best!

Malam tu, aku tidur agak awal, walaupun balik dari pasar lelong dah dekat pukul 12.30 malam, tapi itu dikira masih awal. Dah takda aktiviti nak buat, sepupu aku pun ramai yang tak ada...maka tido je la menunggu hari esok.

Ok, nanti aku sambung kisah di hari pertama berhari raya. Tunggu....

PEACE!!!

Tu dia dah nampak signboard!

Sikit lagi nak sampai dah...rumah nenda.
Fuh indahnya kampongku!
Time buka puasa di bawah rumah....banyak lagi lauk belom hidang nih.

Aunty aku buat kek blueberry katanya...hahahaha

Pasar lelong sekitar jam 10.30 malam...sesak giler!






2011-08-29

Selamat Hari Raya Aidil Fitri: Maaf Zahir Dan Batin

Assalamualaikum!

Mood Raya kian menebal!

Sempena Hari Raya Aidil Fitri yang bakal tiba (insyaAllah pada 30 Ogos 2011 katanya) aku dengan rendah diri, menyusun sepuluh jari memohon maaf kepada semua yang mengenali diri ini samada dengan nama sebenar atau nama timang-timangan...ehem (*hahaha) sekiranya penulisan saya di dalam blog ini ada yang menyinggung perasaan mana-mana pihak yang membacanya. Segala yang baik itu datangnya dari Allah dan yang buruk itu datang daripada hambanya sendiri.

Semoga Hari Raya tahun ini memberi seribu pengertian kepada kita semua.


Untuk yang memandu pulang ke kampung: Berhati-Hati di jalan raya. Ingatlah orang yang tersayang, pandu cermat jiwa selamat.

Untuk yang naik kenderaan awam: Awasi barang-barang anda, jaga tingkah laku dan semoga selamat tiba ke kampung halaman masing-masing.

Untuk yang tak balik beraya: Selamat beraya di tempat sendiri, jangan sedih-sedih dan ingatlah pengorbanan anda itu ada hikmahnya.

Jangan serik singgah kat blog ini, dan jemputlah datang ke rumah!

* Yesss jom cuti!~  

Psttt: Sampai sekarang aku tatau tema baju raya aku taun ni warne apa, tapi dah siap dah mak aku buat...seprais katanya! Lalalala...

PEACE!



POPULAR POSTS