Kisah Korban Tahun Ini: Alhamdulillah, Masih Diberi Rasa Untuk Berkongsi
Tahun ini, semuanya berlaku tanpa perancangan yang rapi. Tiada siapa yang betul-betul menetapkan untuk mengambil bahagian dalam ibadah korban, tapi Allah gerakkan hati kami di saat-saat akhir. Alhamdulillah, semuanya dipermudahkan.
“My mon” kata, “Tak perlu besar-besaran. Kita buat kenduri kecil-kecilan saja lepas lembu disembelih. Jemput saudara-mara yang balik beraya dan beberapa jiran terdekat. Sekadar menjamu apa yang ada.”
Aku angguk saja. Aku tahu itu yang buat hati ibu gembira, jamu orang makan.
Ada sesuatu yang sangat tenang dalam melihat ibu tersenyum di dapur, walaupun tubuhnya tidak sekuat dulu. Dan ayah, meski langkahnya makin perlahan, masih tetap mahu turun padang, memerhati dari jauh, sekurang-kurangnya.
Tahun ini, aku cuma mahu yang terbaik buat mereka berdua. Tiada impian besar pun, cuma satu harapan kecil: semoga Allah terus memelihara ayah dan ibu seperti mana mereka memelihara aku sejak kecil. Sejak aku belum tahu apa-apa tentang dunia, merekalah pelindung, guru, penyayang.
Betullah apa orang kata, semakin kita dewasa, semakin kita benar-benar faham apa itu erti pengorbanan. Ia bukan sekadar tentang daging korban yang diagih, tapi tentang masa, tenaga, dan cinta yang kita curahkan untuk orang-orang yang kita sayang.
Tahun ini, aku belajar untuk lebih menghargai. Dan aku bersyukur, kerana aku masih diberi rasa untuk berkongsi.
WASSALAM.
![]() |
Korban 2025 |
Comments
Post a Comment
Thanks for Coming...Please leave your comment here.
Introduce yourself first or else aku tak layan. Thanks!