Masak Rendang Tok Versi Mama

Setiap kali nak raya, bau yang paling aku nanti bukan bau bunga rampai, bukan bau kuih bakar, tapi bau rendang tok mama. Bau yang melekat kat langsir, kat baju, kat rambut pun ada. Tapi itu lah, bau yang paling buat aku rasa “raya dah dekat”.

Resepi rendang tok versi mama bukan jenis yang ada dalam buku. Takde sukatan gram, takde “masak selama 30 minit atas api sederhana”. Semua main rasa, main tengok, main agak-agak. Tapi hasil dia… memang win.

Tahun ni mama kata, “Kamu tolong mama buat rendang tok. Belajar elok-elok. Esok lusa entah sempat ke tak nak ajar lagi.”

Aku diam je masa tu. Rasa sebak sikit, tapi aku angguk.

Awal pagi, dapur dah berasap. Mama pakai apron lusuh yang ada kesan kunyit tak hilang. Daging potong ketul besar-besar, macam biasa. “Rendang tok tak main potong kecik. Nak makan biar puas,” mama cakap sambil hiris halia dan lengkuas.

Aku tukang kisar. Bawang merah, bawang putih, halia, lengkuas, serai, semua masuk dalam blender. “Jangan campur air banyak sangat,” mama tegur dari jauh. Aku gelak, “Relax la, mama. Dah pro ni.”

Bahan tumis masuk kuali besar. Minyak menari-nari, bau dia terus naik sampai ke ruang tamu. Mama masukkan rempah, kerisik, santan pekat. Lepas tu baru masuk daging.

“Sekarang ni, kita kena sabar,” mama duduk atas bangku kecik, tangan pegang senduk kayu. “Rendang tok bukan masak sejam dua. Kena renih slow. Bagi semua rasa masuk. Bagi daging tu bercinta dengan rempah.”

Aku duduk sebelah dia. Dengar cerita zaman dulu, macam mana arwah opah ajar mama masak benda yang sama. Zaman dulu, pakai dapur kayu. Nak kisar pun tumbuk satu-satu. Tapi rasa dia tetap sama. “Rendang tok ni bukan pasal lauk. Ni pasal keluarga. Pasal kasih sayang. Sebab tu tak boleh buat sambil marah, nanti tak jadi.”

Lama kami duduk situ. Asap dapur buat mata pedih, perut berkeroncong. Bau rendang makin padu, warna dia berubah perlahan-lahan. Dari putih ke kuning, jadi perang gelap, pekat melekat, kering tapi berlemak.

Mama cedok sikit, letak atas pinggan kecik. Dia hidu, senyum puas. “Dah jadi,” katanya. “Tapi rasa… esok pagi raya baru boleh.”

Aku senyum balik sambil telan air liur. Dugaan betul.

Hari tu aku belajar satu benda, rendang tok bukan sekadar lauk atas meja raya. Dia satu cerita. Satu legasi. Dan aku rasa bertuah sebab aku sempat belajar dari mama.

WASSALAM.


Ipoh, Perak - Mac 2025


Comments

  1. saya pulak mengimbau kenangan bersama aruah mak semasa membuat lepat pulut versi jawa. Bila aruah mak sudah tiada saya lah yang diharap oleh adik beradik supaya membuatnya. Begitu juga kuih makmur inti kurma. Saya dah turunkan ilmu tersebut kepada adik ipar supaya dia yang meneruskan legasi kuih tersebut. Aruah mak dulu pandai buat kuih dan masakan. Tapi anak-anaknya tidak semua yang mempelajari ilmu-ilmu daripadanya. Mana taknya kalau buat kuih bahulu lapis pakai dapur kayu.....mano nak carik. Buat kuih penderam pun tepung beras buat sendiri.... sekarang boli ajo eh. walau tak sama rasa beli jika teringin. hehehehe

    ReplyDelete
    Replies
    1. Masakan dan kuih muih tradisi memang sedap dan menggamit memori kan. Yang jual jual sekarang banyak yang instant, rasa tak sama.

      Delete
  2. Eh orang perlis bukannya femes dengan rendang itik ke.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Hahaha tak pasti la pulak, sebab saya bukan orang Perlis.

      Delete
  3. Beruntung sangat Abang bisa belajar dari mama. Saya menyesal sangat dulu tak belajar masak ketika masih tinggal dengan mama. Sekarang dah jauh. Ketemu pun 2 THN sekali.

    Nampak sedaaap sangat rendangnya. 😍😍😍. Ini memang masakan yg tak boleh skip kalo raya kan.

    ReplyDelete
  4. Mohon nak berguru dengan tuan dan amik tauliah masak rendang tok ni.. Lain tempat lain orang maka lain rendang nya :D

    ReplyDelete

Post a Comment

Thanks for Coming...Please leave your comment here.
Introduce yourself first or else aku tak layan. Thanks!

Popular posts from this blog

Padang Besar, Perlis : Syurga Membeli-Belah di Utara Tanahair ?

Food Hunter: Nasi Ganja Yong Suan, Ipoh

ERL Dan Bas (Putrajaya ke LCCT)

Lombok (Part 1): Welcome to Lombok!

Kisah Sarapan Roti Bakar Telur Goyang di Transfer Road Dan Berjumpa Blogger Ceria