2008-04-14

Visit Malaysia: Taman Alam Nature Park ~ PART 2

Assalammualaikum!

Continued from the previous issue.. "Taman Alam Nature Park". I found this article from Utusan Malaysia dated on 28 March 2008. Please read this article for further information regarding this beautiful place.

"KUALA SELANGOR 28 Mac – Jika anda masih mencari-cari lokasi yang keindahan alam semula jadi masih belum tercemar dek arus pembangunan, Taman Alam Kuala Selangor pasti memberi anda pengalaman manis yang sukar dilupakan.
Ini kerana alam semula jadinya masih ‘dara’ tanpa sedikit pun pencemaran, sekali gus menjadikan taman tersebut sentiasa mendapat perhatian pelancong tempatan dan asing.

Taman seluas 296 hektar itu dibuka pada tahun 1987 dan dibahagikan kepada dua bahagian utama iaitu hutan hujan tropika seluas 201 hektar dan selebihnya merupakan hutan paya bakau.
Taman itu diletakkan di bawah pengurusan Persatuan Pencinta Alam Malaysia dan persatuan itu jelas berjaya mengekalkan keindahan alam semulajadinya tanpa sebarang gangguan yang boleh merosakkan habitat yang menjadi ‘penghuni’ setia di situ.

Jika anda mahu ke sana, perjalanan untuk ke taman yang terletak bersebelahan dengan Bukit Melawati itu hanya mengambil masa satu jam sahaja dari Kuala Lumpur.

Walaupun taman itu agak terpencil dan kurang dikenali, namun ia masih mampu menarik ramai pengunjung setiap hari terutamanya pada hujung minggu dan cuti umum.

Selain kehijauan tumbuhan, Taman Alam itu juga merupakan sebuah taman burung dan pengunjung akan berpeluang melihat sendiri pelbagai jenis spesies burung yang hidup liar dan bebas di taman itu.

Menurut Pegawai Pengurusan Taman Alam Kuala Selangor, Asokumar Rajadurai, terdapat 156 jenis spesies burung di situ, termasuk burung-burung dari luar negara seperti dari Siberia yang berhijrah dari negara mereka terutamanya pada bulan September hingga April.

“Sesetengah burung yang menjadi penghuni di taman ini ialah burung-burung dari kawasan sejuk di hemisfera utara yang mencari makanan di kawasan panas di hemisfera selatan.

“Antara spesies burung tempatan yang menjadi penghuni setia di taman ini ialah burung bakau, burung bangau, ketitir, pekaka, raja udang, pucong, serandau, helang bahu hitam dan jika anda bernasib baik, pasti kelibat burung helang merah pasti memukau pandangan mata.

“Manakala burung-burung yang berhijrah pula ialah seperti purple herow, great eagle, tiger shrike, brown shrike, arctic shrike, warbler, purple swamphen dan banyak lagi,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Bagi memudahkan pengunjung melihat kehadiran burung-burung tersebut, beberapa menara tinjau disediakan untuk para pengunjung.

Mereka pastinya akan terpegun dan leka menyaksikan pelbagai mergastua berterbangan bebas di alam semulajadinya tanpa gangguan.

Kehadiran burung-burung itu juga menjadikannya taman tersebut sebagai sebuah lokasi yang paling menarik untuk dilawati, selain kelip-kelip di Kampung Kuantan, tidak jauh dari situ.
Malah, taman itu juga menjadi tumpuan para saintis dan pengkaji untuk menyelidik tentang habitat dan kehidupan burung-burung tersebut.

Selain dapat melihat pelbagai burung-burung yang sukar dilihat di tempat lain, di taman ini juga terdapat pelbagai spesies tumbuh-tumbuhan liar yang masih terpelihara.

Di kawasan hutan paya bakau yang meliputi kawasan seluas kira-kira 100 hektar pula, pengunjung boleh menyaksikan banyak spesies haiwan yang jarang ditemui.

Hutan paya bakau yang terbentang luas untuk diterokai itu juga pasti memberi pengalaman baru yang berbeza kepada setiap pengunjung.

Hutan paya bakau di sini bukan sahaja berfungsi sebagai ejen pengekalan ekosistem di kawasan itu, malah turut menjadi habitat semula jadi kepada beberapa jenis haiwan. Bagi pengunjung yang belum pernah melihat spesies haiwan yang menghuni paya bakau, inilah tempatnya untuk ‘berkenalan’ dengan haiwan-haiwan tersebut. Terdapat pelbagai spesies siput seperti siput sedut, siput roman dan siput beliung menanti pengunjung di tasik buatan manusia seluas lapan hektar yang terletak di tengah-tengah taman tersebut. Selain itu, pengunjung juga dapat melihat ikan belacak yang gemar bermain di akar-akar kayu pokok bakau serta beratus-ratus ekor ketam batu yang berwarna-warni membina sarangnya. Tetapi, pengunjung dinasihatkan supaya berhati-hati apabila meneroka taman tersebut kerana kebanyakan haiwan seperti biawak, memerang, belatuk, bangau dan lotong oren dibiarkan hidup bebas di habitat itu. Di samping melihat haiwan, aktiviti lain turut disediakan di taman itu seperti aktiviti mandi lumpur, penanaman semula pokok kayu bakau serta aktiviti pendidikan dan penyelidikan untuk pelajar-pelajar sekolah. Bagi pengunjung yang ingin menikmati keindahan suasana malam sambil mendengar ‘kicauan’ cengkerik di taman itu, mereka boleh menginap di taman tersebut. Taman Alam dibuka setiap hari dari pukul 9 pagi hingga 6 petang dan bayaran RM4 bagi dewasa dan RM1 bagi yang berumur 17 tahun ke bawah dikenakan."

Sumber: Google 

1 comment:

  1. Salam, boleh saya tahu spesies pokok bakau yang ada kat taman alam ni?

    ReplyDelete

Thanks for Coming...Please leave your comment here.
Introduce yourself first or else aku tak layan. Thanks!

POPULAR POSTS